
DARI AUTOBAHN KE SEKOLAH: WAGON- GAYA HIDUP ORANG JERMAN
Dalam lawatan bersama Continental Tyre ke Hanover Jerman, dan satu perkara yang paling ketara diperhatikan oleh penulis ketika berada di sana ialah orang Jerman memang suka sangat dengan wagon. Di bandar, di lebuh raya, di pekan kecil hampir setiap jenama kereta ada model wagon atas jalan.
Pengguna wagon di Jerman sendiri memilih pelbagai jenama dan model meliputi jenama mewah, sederhana dan juga mampu milik. Sampai satu tahap Audi sendiri sampai buka showroom khas untuk wagon mereka, dikenali sebagai Avant Experience Center di Ingolstadt.
Ini bukan minat suka-suka. Ini adalah budaya automotif Jermanik. Kami rungkaikan faktor-faktor kenapa wagon menjadi pilihan pengguna di Jerman
1. Wagon = Gaya Hidup
Wagon di sana bukan kereta pelik atau jarang-jarang ditemui. Ia adalah pilihan utama untuk ramai keluarga, profesional muda, malah golongan tua. Dengan ruang but yang besar, bumbung rendah, dan keselesaan seperti sedan, wagon menjadi kereta yang serba boleh. Senang untuk angkut barang aktiviti lasak, berkhemah, basikal, stroller anak atau hasil belian di IKEA.
Orang Jerman terkenal dengan cara hidup yang praktikal dan efisien. Jadi rekaan wagon adalah selari dengan falsafah itu dan tidak terlalu besar macam SUV, tapi jauh lebih berguna dari sedan biasa.
2. Rakan Ideal untuk Autobahn
Jerman memiliki lebuh raya Autobahn yang terkenal dengan budaya tanpa had laju di kawasan tertentu. Dalam konteks ini, wagon jauh lebih sesuai dari SUV kerana wagon lebih rendah, lebih aerodinamik, dan lebih stabil pada kelajuan tinggi.
Berbeza dengan SUV yang tinggi, pengendalian wagon lebih tajam dan responsif. Ramai peminat kereta tahu untuk memandu melebihi 200km/j dengan selesa, wagon adalah pilihan terbaik.
Tambahan pula, wagon moden seperti Audi A6 Avant atau BMW 5 Series Touring masih menawarkan prestasi tinggi dengan enjin turbo dan suspensi adaptif, menjadikannya kereta yang mampu bawa keluarga dan masih sedap dipandu samaada di lebuh raya atau offroad ringan
3. Wagon = Matang dan Tidak Menunjuk
Ada satu persepsi di Eropah Tengah, termasuk Jerman yang akan mengaitkan pemilik SUV sebagai “orang baru naik” atau mereka yang nak nampak gah. Wagon pula dianggap elegan, matang, dan tidak terlalu menonjol. Wagon adalah pilihan orang yang tahu apa dia buat, bukan semata-mata ikut trend.
Memandu wagon akan memberikan mesej kepada pengguna lain yang kita adalah seorang yang efisyen, mementingkan fungsi, dan minimal dimana semua nilai ini adalah selari dengan budaya dan masyarakat Jerman
4. Polisi & Kelebihan Tempatan
Beberapa pihak berkuasa tempatan di Jerman memberi insentif atau kelonggaran untuk wagon, seperti permit parkir kediaman. Dari segi pelepasan gas karbon dioksida pula, wagon biasanya melepaskan gas ini lebih rendah berbanding SUV, menjadikannya lebih mesra dengan polisi emisi EU yang ketat.
5. Jenama Sendiri Bangga dengan Wagon
Audi, BMW, Volkswagen dan Mercedes semua ada barisan wagon yang lengkap dari segmen kecil sehinggalah ke segmen besar dan mewah. Sebagai contoh jenama Audi khususnya, sangat memartabatkan nama “Avant” sebagai simbol gaya hidup.
Audi RS6 Avant merupakan wagon berkuasa supercar yang dianggap ikon prestasi Jerman. Apabila Audi sanggup buka galeri khas hanya untuk wagon iaitu Avant Experience Center di Ingolstadt, kita tahu betapa seriusnya budaya wagon di kalangan pengguna.
6. Kenapa Malaysia Tak Sama?
Di Malaysia, wagon masih dilihat sebagai kereta pelik atau “panjang sangat” sehingga digelar sebagai kereta mayat. Budaya pengguna Malaysia cenderung memilih SUV kerana kedudukan pemandu lebih tinggi, rasa selamat, dan nampak mahal. Infrastruktur jalan dan cuaca seperti banjir juga membuatkan wagon kurang praktikal di sini.
Tapi itu bukan halangan untuk kita belajar sesuatu. Wagon adalah bukti bahawa fungsi dan gaya boleh seiring. Dan mungkin suatu hari nanti, bila persepsi berubah dan pilihan lebih banyak, wagon akan dapat tempat di hati rakyat Malaysia juga.
Wagon di Jerman bukan kereta niche yang terhad pada pengguna tertentu sahaja. Wagon adalah lambang cara hidup yang praktikal, matang dan tidak menunjuk. Selepas tengok sendiri budaya ini, penulis lebih faham kenapa pemandu Jerman membeli wagon.
Ia bukan sekadar soal reka bentuk malah wagon mencerminkan falsafah hidup. Dan dalam dunia automotif hari ini, itu sesuatu yang cukup jarang ditemui.