Artikel Pilihan

DASHBOARD KERETA MAT SALEH CEPAT ROSAK DI MALAYSIA?

Ketika anda baru membeli kereta jenama import dari benua Eropah mungkin VW Passat, Porsche Cayenne recon, atau Ford Mustang CBU rekaan dalaman, kemasan pintu dan semua suis yang digunakan kelihatan cantik, terasa mewah, dan berbau premium.

Malangnya selepas dua tiga tahun dibeli, timbul tragedi yang menyedihkan dan di luar pemikiran anda iaitu kemasan dashboard menjadi lembik, trim melepuh seperti kudis, butang suis terasa cair macam coklat tofee, melekit macam gam cap gajah, dan bunyi-bunyi pelik mula berzikir dari setiap penjuru kabin.

Paling kelakar, kemasan trim pada bumbung pun boleh melendut seperti kain kelambu rumah atok kita satu ketika dulu

Jadi kenapa isu ini selalu terjadi dekat kereta buatan Barat bila guna dekat Malaysia?
Jawapan pendek: Suhu dan iklim tropika di Malaysia panas gila

1. Malaysia Panas & Lembap Sepanjang Tahun

Jika anda pernah mengembara ke Eropah, suhu musim panas biasa-biasa je sekitar 24°C sampai 30°C, dan tu pun tak lama. Pada waktu malam atau hari hujan, suhu boleh turun ke 20-11°C sahaja. Namun cuaca di sini sangat berbeza iaitu antara 32–38°C setiap hari,

Lagi malang kalau kereta anda diparkir di tepi jalan jam 2 petang tanpa bumbung, suhu dalam kabin boleh mencecah sehingga 70°C. Bahan plastik dan getah dalam kabin (papan pemuka, konsol tengah, butang) bagi kereta Eropah tidak direka untuk bertahan dengan cuaca panas ekstrim Malaysia

Keadaan ini menyebabkan getah soft touch menjadi melekit, trim plastik pecah, pudar, sambungan komponen terbuka dan kemasan kulit boleh menjadi kusam

2. Bahan Digunakan – Premium Tapi Tak Tahan

Sesetengah pengeluar telah menandatangani perjanjian melestarikan alam sekitar, termasuk menggunakan plastik yang telah dikitar semula bagi menghasilkan kemasan dalam kereta. Tambah memburukkan keadaan adalah pengguna Eropah dan Amerika sangat gemarkan bahan plastik sentuhan lembut, kulit sintetik jenis PU, atau trim bergetah untuk beri rasa mewah.

Masalahnya ialah semu bahan ni sesuai untuk cuaca sejuk dan kering, bukan lembap dan panas 24 jam macam sauna seperti Malaysia. Keadaan ini menyebabkan bahan ini cepat terurai, cair, atau reput. Apabila kelembapan dan panas bergabng, kemasan ini menjadi macam gula-gula toffee. Sentuh dengan jari pun rasa melekit.

3. Kelembapan di Malaysia – Pembunuh Senyap

Malaysia bukan saja panas, tapi juga datang dengan taburan hujan yang tinggi dengankelembapan antara 70% hingga 90% setiap masa. Keadaan ini menyebabkan gam dalam trim cepat hilang kekuatan, span dan foam dalam panel jadi lembik atau berkulat dan akhir sekali omponen bercantum (child part trim) menjadi longgar dan bergegar

Hasilnya ialah bunyi getaran halus yang tidak tahu dari mana datang, tapi pasti membuatkan anda tertekan dalam jam pagi-pagi.

4. Kereta Recon Tak Lalui Ujian Iklim Tropika

Kebanyakan kereta Eropah/Amerika dibina dan diuji untuk “temperate climate” dimana ujian ini tidak melibatkan kepanasan ekstrem dan juga kelembapan tinggi setiap hari. Untuk kereta yang dijual secara rasmi di Malaysia atau ASEAN, pengeluar akan melakukan “tropical test”

Namun bagi unit kereta recon atau import CBU dari UK besar kemungkinan kereta tersebut tidak melalui ujian thermal humidity (ISO 16750-4), pendedahan UV pada komponen plastik (ISO 4892-2/3) atau ujian suhu tropika khas yang digunakan oleh kumpulan Volkswagen/Audi (LV124 (VW, Audi)

5. Pengeluar Jepun Lebih Faham

Toyota, Honda, Nissan dan kebanyakan pengeluar automotif jenama Jepun sangat memahami keperluan khas untuk pasaran tropika. Jadi tidak hairanlah bagi pasaran tropika dan kawasan dengan suhu yang tinggi, pengeluar Jepun akan menggunakan bahan plastik yang tahan UV, tahan panas, dan juga mengelakkan penggunaan soft touch plastic atau salutan getah pada komponen yang terdedah pada sinaran cahaya matahari

Jadi tidak hairanlah dashboard Vios 2010 pun masih keras, tak melekit dan tak meletup, walaupun umur kereta sudah mencecag 15 tahun dan diparkir di bawah matahari suria Malaysia.

Bagi mengurangkan masalah ini, kami sertakan beberapa saranan yang kami rasa mampu untuk mengurangkan masalah ini dengan ketara. Antaranya ialah:

1. Guna tirai sinaran matahari & filem suria berkualiti tinggi – mampu menurunkan suhu dalaman sampai 10°C.

2. Elakkan parkir di bawah matahari – parkir di bawah pokok, teduh atau menggunakan parkir bawah tanah adalah pilihan yang lebih baik

3. Gunakan UV protectant khas untuk plastik & vinyl – contohnya 303 Aerospace Protectant.

4. Jangan lap dashboard dengan air sabun biasa – sabun berpotensi merosakkan lapisan pelindung plastik.

Masalah komponen plastik cepat rosak ni bukan sebab Porsche, VW, atau Ford tu tak berkualiti tetapi kebanyakan model ini direka untuk iklim yang lebih nyaman dan kering, bukan untuk Malaysia yang panas, lembap dan sinaran UV bagaikan di dalam microwave.

Google ads
Back to top button