
AVETA UKIR NAMA DALAM MALAYSIA BOOK OF RECORDS, SERAH 168 UNIT MOTOSIKAL KEPADA PELANGGAN
AVETA Motor Malaysia mengukir pencapaian terbaru dalam pasaran motosikal tempatan selepas berjaya menempah nama dalam Malaysia Book of Records.

Kejayaan itu dilakar selepas pihak AVETA berjaya menyerahkan 168 unit motosikal jenis Vanguard 250 dan Nova 160 kepada pelanggan di Pulau Pinang menerusi CKT Motor. Untuk rekod, angka tersebut merupakan penyerahan motosikal tertinggi pernah dicatatkan dalam satu acara bagi tahun 2025.

Turut memeriahkan acara adalah kehadiran EXCO Perdagangan Pembangunan Keusahawan dan Luar Bandar, YB Dato Haji Rashidi Bin Zinol bersama-sama Pengurusan CKT Motor dan Pengarah Urusan AVETA, Steven Lim.

Acara yang berlangsung di Kepala Batas, Pulau Pinang itu turut menyaksikan seramai 168 pemilik motosikal AVETA berjaya dikumpulkan dan menerima motosikal yang telah didaftarkan.

Dalam pada itu, AVETA turut mengumumkan telah menerima lebih 10,000 tempahan bagi Vanguard 250 dan Nova 160 setakat ini.
Menariknya, bagi memastikan pelanggan akan menerima tempahan dengan lebih cepat, AVETA sedang merancang untuk menambah barisan pemasangan kedua di kilang mereka sekaligus meningkatkan pengeluaran motosikal.