
DATUK FUAAD CEO BAHARU PROTON
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Berhad (Proton), Datuk Abdul Harith Abdullah akan menamatkan perkhidmatannya di syarikat automotif berkenaan hujung bulan ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM), Abdul Harith bakal memulakan tugas barunya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat di jabatan Automotive Distribution and Defence bermula 1 April hadapan.
Penstrukturan semula posisi pengurusan utama dalaman syarikat DRB-HICOM itu dikatakan sebagai langkah yang konsisten dengan dasar konglomerat berkenaan untuk sentiasa membangunkan keupayaan dalam syarikat.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Sri Syed Faisal Albar berkata pendekatan itu bagi mengekalkan perspektif yang segar agar syarikat dapat berhadapan cabaran terkini dan persekitaran perniagaan yang berdaya saing.
Jawatan Ketua Pegawai Eksekutif/ Pengarah Eksekutif Proton baharu akan diterajui oleh Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali bermula 1 April hadapan.
Ahmad Fuaad ketika ini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi Kewangan dan Operasi DRB-Hicom.
Sebelum menyertai DRB-Hicom, Ahmad Fuaad memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan, Astro Malaysia Holdings Berhad.











