Buletin

HYUNDAI KONA ELECTRIC RASMI DILANCARKAN. 3 VARIAN, 305 DAN 484 SEKALI CAJ, BERMULA RM149,888

Hyundai-Sime Darby Motor (HSDM) sebentar tadi melancarkan model elektrik pertama mereka ke pasaran tempatan. Menjadi kereta elektrik (EV) paling mampu milik setakat ini di Malaysia, ini lah peluang terbaik untuk anda merasai sensasi memandu sebuah EV. 

Memanfaatkan sepenuhnya pengecualian cukai ke atas EV yang diumumkan oleh kerajaan dalam Bajet baru-baru ini, Kona Electric ditawarkan pada harga seperti berikut: 

  • Kona Electric e-Lite  – RM149,888
  • Kona Electric e-Plus – RM169,888
  • Kona Electric e-Max – RM199,888

Kona Electric ditawarkan dalam tiga varian dengan dua pilihan kapasiti bateri. Varian e-Lite dan e-Plus dipasang dengan bateri berkapasiti 39.2kWh, manakala varian tertinggi e-Max pula menggunakan bateri 64kWh. 

Bateri tersebut membolehkan varian e-Lite dan e-Plus bergerak sejauh 305km dengan sekali caj. Jarak itu sebenarnya lebih daripada mencukupi sekiranya anda tinggal dan bekerja di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur. Bagi mereka yang mahukan jarak lebih jauh, pilih sahaja varian e-Max kerana ia mampu mencatat jarak sejauh 484km. 

Tempoh mengecaj menggunakan pengecasan biasa (AC) dengan kuasa 11kW dan 7.2kW pula ialah sekitar 4.5 hingga 6.5 jam untuk bateri 39.2kwh. Bateri 64kwh memerlukan masa lebih lama mencecah 7.5 jam jika menggunakan pengecaj 11kWh. 

Namun, tempoh mengecaj boleh disingkatkan menjadi hanya 60 minit untuk bateri 39.2kwh dan 30 minit bagi bateri 64kwh, jika anda menggunakan pengecasan pantas (DC) dengan aliran kuasa 50kW. 

Ketiga-tiga varian digerakkan oleh motor elektrik tunggal dan kotak gear satu kelajuan tetapi dengan kuasa berbeza. Varian Lite dan Plus menawarkan kuasa 136PS, manakala varian Max berkuasa 204PS. Biarpun begitu, tujahan torknya sama sahaja iaitu 395Nm. 

Rangkaian kuasa itu membolehkan varian Lite dan Plus mencatat pecutan 0-100km/j dalam masa 9.95 saat. Sementara varian Max lebih pantas dengan 7.95 saat. Hyundai bagaimanapun menghadkan kelajuan 155km/j untuk e-Lite dan e-Plus, serta 167km/j bagi varian e-Max. 

Melihat dari segi luaran, EV itu seolah-olah tiada beza dengan varian yang dipasang dengan enjin petrol. Perbezaan paling ketara pastinya ketiadaan gril radiator dan bampar hadapannya mempunyai slot untuk tujuan mengecas. Selain daripada itu, ia sama seperti model Kona biasa. 

Maksudnya, SUV kompak tersebut dibekalkan dengan lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) LED). Bahagian belakang tiada perubahan dan ketiga-tiga varian menerima rim aloi bersaiz 17 indi dengan rekaan yang sama. 

Masuk ke ruang kabin, ia kelihatan sangat menarik dengan rona kelabu cerah. Jika anda kurang berminat, tidak mengapa kerana ia boleh ditukar kepada warna hitam. Menurut HSDM, pelanggan Kona Electric cenderung untuk memilih warna cerah, tetapi tidak untuk pembeli Kona dengan enjin petrol. 

Pada konsol tengah, tuil gear ditukar dengan butang yang membuatkan susun aturnya nampak lebih kemas. Ruang itu turut dihuni leh dua tempat meletak minuman, butang pemanas dan menyejukkan kerusi, selain butang Auto Hold dan Drive Mode. 

Pemandu dihidangkan dengan kluster digital bersaiz 10.25 inci yang memaparkan semua maklumat pemanduan termasuklah aliran tenaga elektrik pada kereta. Manakala skrin untuk sistem infohibur pula bersaiz lapan inci. Tempat duduk belakang boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40 bagi meningkatkan lagi ruang kargo, 

Dari segi dimensi, semuanya sama kecuali model EV ini direndahkan sebanyak 1cm. Jika anda perhatikan, terdapat bateri di bawah lantai jentera berkenaan. 

Kona Electric didatangkan dengan sistem keselamatan antara yang terbaik dalam kelasnya. Ia dilengkapi Hyundai SmartSense yang terdiri daripada Tire Pressure Monitoring System (TPMS) Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA0, High Beam Assist (HBA), Parking Distance Warning, Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Driver Attention Warning (DAW), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Forward Collision-Avoidance Assist (FCA). Namun, kebolehdapatan ciri itu bergantung kepada varian yang anda pilih. 

Hyundai menawarkan Kona Electric dalam sembilan warna menarik iaitu biru (Dive in Jeju dan Surfy Blue Metallic), merah (Ignite red dan Pulse Red Pearl), hijau, putih, hitam serta kelabu (Galactic Grey dan Cyber Gray Metallic). 

GALERI

Google ads
Back to top button