
CARA HARTAWAN EROPAH FLEX KEKAYAAN – TANPA GIMIK MURAHAN
Pemilik-pemilik Bugatti Veyron dan Chiron sememangnya diakui mempunyai kekayaan yang melimpah-limpah di dunia ini. Baru-baru ini mereka mengadakan perjumpaan untuk European Grand Tour 2023 yang diadakan sekitar Basque Region, Perancis. Acara ini boleh dikatakan hampir serupa dengan Gumball 3000 tapi lebih mewah dan tak sesuai langsung untuk B40 macam kami.

Acara tahun ini menarik penyertaan 28 buah Bugatti moden termasuklah Veyron, Chiron, Divo dan sebuah model istimewa yang cuma ada satu unit sahaja di dunia, Chiron Profilee. Untuk rekod Chiron Profilee berjaya dijual dengan harga USD10.6 juta dalam satu acara lelongan awal tahun ini.
Acara bermula di bandar Biarritz dan peserta menginap di Hotel Du Palais yang telah dibina pada pertengahan abad ke 18 oleh Napoleon III dan merupakan bekas rumah musim panas untuk isteri beliau.

Rombongan hypercar tersebut kemudiannya berkonvoi menikmati pemandangan indah sepanjang Bay of Biscay sebelum bergerak menuju ke Sepanyol dan berhenti di muzium Chillida Leku. Mereka selepas itu bergerak ke kawasan berbukit sekitar teluk sebelum kembali ke Hotel Du Palais.
Hari kedua menyaksikan peserta bergerak menuju Atlantic Pyrenees keRocevaux Pass sebelum berhenti di Extarri Aranatz untuk makan tengahari. Mereka kemudian meneruskan perjalanan ke kemuncak sempadan Perancis dan Sepanyol sebelum berhenti di Marques De Riscal Hotel dalam wilayah Rioja Alavesa.
Rasanya tak ramai pemilik Bugatti yang pernah membawa jentera kesayangan mereka ke litar perlumbaan (macam Abang Japar la, mana pernah bawa Alza masuk trek), tapi kembara kali ini termasuk pakej perhentian di Navarra Circuit di mana mereka boleh menguji kehebatan jentera masing-masing sehingga kehadnya, berani ke tak je masalahnya. Mereka kemudian meneruskan pemanduan ke Guggenheim Museum di Sepanyol.

Mungkin antara kita ada yang berpeluang memiliki sebuah Bugatti dan lebih ramai yang tak mampu beli hatta sebiji tayar Bugatti sekalipun. Tapi apa salahnya kita menjamu mata dengan gambar-gambar yang cantik sepanjang perjalanan European Grand Tour ni kan? Asyik baca post pasal besi buruk loya juga tekak kan?





