
PENGANJUR RETRO HAVOC CAR SHOW 2023 MINTA MAAF – SITUASI LUAR KAWALAN, SEDIA TINGKAT PENGURUSAN ACARA
Acara ‘8th Annual Retro Havoc Car Show 2023’ di The Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini mendapat perhatian apabila terdapat insiden yang menjejaskan ramai pihak terutamanya bagi penganjur serta pempamer.
Terdahulu, beberapa video telah tular di mana segelintir pengunjung dengan selamba duduk di atas kereta, bersandar bahkan ada yang menyentuh kenderaan-kenderaan tanpa kebenaran pemilik.
Selain itu, ada juga mendakwa bahawa ada kenderaan calar-balar, nombor pendaftaran patah, patah cermin sisi walaupun terdapat tanda amaran ‘do not touch participant car’.

Merespon perkara berkenaan, pihak penganjur Retro Havoc, hari ini membuat kenyataan permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak terjejas.
“Pihak kami menghargai segala komen, kritikan diberikan oleh pihak-pihak berkepentingan serta juga dari netizen.
“Pihak kami ingin menegaskan bahawa kami tidak mempunyai kawalan sepenuhnya kepada tingkah laku orang ramai dan pengunjung pada hari tersebut. Ia diluar jangkaan kami,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Retro Havoc.
Tambahnya, pihaknya juga telah menyatakan garis panduan serta peraturan bertulis kepada setiap pemilik kenderaan.
“Kami ingin tekankan bahawa tiada sesi ‘Pop & Bang’ Ekzos sebagai acara rasmi. Tindakan tersebut dilakukan oleh pemilik kereta atas kehendak sendiri tanpa pengetahuan pihak kami. Namun begitu, kami mengambil ikhtibar terhadap tindakan orang ramai semasa acara tersebut,” jelasnya.
Dalam pada masa sama, Retro Havoc sedia meningkatkan kawalan keselamatan bagi memastikan kelancaran acara itu pada masa akan datang.
“Tindakan kami selanjutnya ialah memberi tumpuan kepada meningkatkan pengurusan acara, termasuk menjalankan penilaian risiko lebih teliti selain, memberi latihan kepada pasukan keselamatan kami.
“Kami mengambil berat tentang keharmonian suasana, kesejahteraan orang ramai serta akan terus bekerja keras untuk memastikan acara-acara kami berjalan lancar dan berintegriti pada masa akan datang,” ujar Retro Havoc. – Facebook Retro Havoc
- BACA: RETRO HAVOC CAR SHOW 2023: NETIZEN KECAM PENGUNJUNG SELAMBA SENTUH KENDERAAN TANPA KEBENARAN
- BACA: SELAMBA GELONGSOR ATAS HUD KERETA DI AUTOSHOW. IBU BAPA DIMINTA JAGA PERANGAI ANAK
- BACA: HONDA e MILIK TTJ DIGESER BMW. PERANGAI…
- BACA: PERANGAI MAK BAPAK HANTAR ANAK KE SEKOLAH YANG TAK SEPATUTNYA BERLAKU