Motosikal

DORNA HARAMKAN PENGGUNAAN NO. 46 SELEPAS ROSSI BERSARA

Penganjur Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Dorna Sports mengesahkan bahawa nombor keramat 46 yang sebati dengan pelumba le­genda Itali, Valentino Rossi tidak boleh lagi digunakan oleh mana-mana pelumba pada masa akan datang bermula Grand Prix Itali penghujung bulan ini.

Sebagai rekod, Rossi yang bergelar juara saingan MotoGP sebanyak tujuh kali termasuk menjuarai 115 perlumbaan GP dan 235 kedudukan podium sepanjang kariernya telah meng­umumkan persaraan rasmi pada musim lepas.

Pelumba sensasi yang ter­kenal dengan gelaran The Doctor itu dijangka hadir pada majlis yang akan dianjurkan oleh MotoGP pada 28 Mei depan di Litar Antarabangsa Mugello sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan sepanjang kariernya.

“No.46 akan ‘diharamkan’ daripada digunakan pada saingan MotoGP bermula GP Itali akan datang. Keputusan ini dibuat sebagai tanda penghormatan terhadap apa yang Rossi sumbangkan dalam arena permotoran antarabangsa.

“Angka tersebut sememang­nya sudah sebati dengan Rossi yang merupakan juara dunia sebanyak sembilan kali termasuk tujuh kejuaraan MotoGP dengan menggunakan No.46 sepanjang kariernya sebelum ini.

“Rossi ialah atlet MotoGP paling berpengaruh dan kami berharap keputusan untuk mengabadikan No.46 sejajar de­ngan keputusannya bersara pada musim lepas adalah langkah yang tepat,” kata MotoGP dalam satu kenyataan.

Selain Rossi, MotoGP sebelum ini telah melakukan perkara sama terhadap nombor yang digunakan oleh beberapa jaguh le­genda permotoran dunia se­perti Kevin Schwantz (No.34), Loris Capirossi (No.65) dan Nicky Hayden (No.69). – AGENSI

Google ads
Back to top button