Buletin

KANTOI SOROK 6 EKOR KAMBING SELUDUP DI BELAKANG TRITON

Taktik dua lelaki menyembunyikan enam ekor kambing seludup di bahagian belakang sebuah trak pikap ‘dihidu’ Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam sekatan jalan raya (SJR) Banggol Kong, Jeram Perdah di Rantau Panjang, Kelantan.

Dua lelaki berusia 23 tahun ditahan pada pukul 9 malam semasa melalui SJR berkenaan dengan menaiki sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, pemeriksaan pihaknya menemui enam ekor kambing yang telah ditutup menggunakan kanvas bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kedua-dua lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan muatan yang dibawa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azhari memberitahu, kesemua rampasan termasuk kenderaan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953. – K! ONLINE

Google ads
Back to top button