Motosikal

DUCATI HYPERMOTARD 698 MONO TIBA DI MALAYSIA TIDAK LAMA LAGI

Selepas pelancaran global pada November 2023, Ducati Malaysia akhirnya bakal melancarkan Hypermotard 698 Mono untuk pasaran tempatan. 

Menerusi perkongsian di media sosial, Ducati Malaysia mengesahkan bahawa motosikal supermoto satu silinder itu akan diperkenalkan disini tidak lama lagi. Walaupun tidak dinyatakan tarikh sebenar namun kami menjangkakan pelancaran akan berlaku dalam masa terdekat. 

Enjin

Ducati Hypermotard 698 Mono ini hadir dengan enjin satu silinder yang cukup berkuasa. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, enjin Superquadrdo Mono ini sebenarnya separuh daripada platform Panigale V2 dengan bore 116mm dan stroke (pendek) 62.4mm serta nisbah mampatan 13.1:1. 

Hasilnya, enjin 659cc dengan injap Desmodromic ni berupaya menjana 77.5hp pada 9,750rpm dan 63Nm pada 8,000rpm. Meskipun angka tersebut sudah cukup mengujakan  – 690 SMC R, 701 Supermoto dan SM 700 berkongsi enjin sama dan menawarkan 74hp – kuasa tersebut boleh melonjak kepada 85hp jika memasang ekzos lumba Termignoni. 

Sementara itu, kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan dengan klac ‘slipper’ dan dibantu dengan sistem “quickshifter” secara standard. Menariknya, nisbah gear pertama cukup panjang bagi membolehkan jentera ini mengambil selekoh dengan lebih agresif. 

Casis dan suspensi

Menurut Ducati, Hypermotard 698 Mono ini guna pakai kerangka jenis “tubular steel trellis” yang dipadankan bersama fork aluminium 45mm dari Marzocchi (boleh laras) di depan serta penyerap hentak Sachs (boleh laras) dibelakang. 

Brek pula dikendalikan kaliper brek Brembo M4.32 (tunggal) yang mengapit cakera brek 330mm yang telah direka khas bagi Hypermotard 698 Mono ini. Selain itu, turut ditawarkan adalah “brake lever” (tuas brek) boleh laras dan pam radial. 

Sementara itu, tetapan belakang merangkumi cakera brek 245mm. Fungsi “Cornering ABS” juga disertakan bersama-sama tayar Pirelli Diablo Rosso IV dengan rim 17-inci. 

Atas kertas, Ducati menyenaraikan Hypermotard 698 Mono ini dengan berat sekitar 151kg sementara tangki pula boleh memuatkan sekitar 11L minyak. 

Elektronik

Seperti jentera “supermoto” lain, Hypermotard 698 Mono juga hadir dengan panel meter LCD kecil, hanya 3.8-inci  tapi memaparkan info cukup termasuk petunjuk gear dan “rev limiter”. 

Selain itu, terdapat empat mod menunggang ditawarkan termasuk Sport, Road, Urban dan Wet. Juga terdapat empat tahap ABS termasuk fungsi Slide By Brake yang membolehkan penunggang baru dan amatur melakukan aksi “drift” ketika di litar lumba. Fungsi “wheelie control” juga hadir dengan empat tetapan berbeza. 

Bagi pasaran Amerika Syarikat, Hypermotard 698 Mono ini dijual pada harga bermula USD14,495 (RM64k).  

GALERI: DUCATI HYPERMOTARD 698 MONO

Google ads
Back to top button