
EDISI TERAKHIR CAMEL TROPHY – CAMEL TROPHY TONGA-SAMOA 2000
Generasi kini mungkin tak pernah dengar pun nama Camel Trophy ni. Entah-entah diorang ingat ini perlumbaan unta padang pasir. Kalau ikut pengertian yang diberikan oleh Ian Chapman, Event Director Camel Trophy selama sepuluh tahun, ia bukannya perlumbaan ataupun rali tetapi ia merupakan ekspedisi kembara yang pertama seumpamanya di dunia.

Elemen pertandingan masih ada untuk menguji kemahiran pasukan terlibat dari aspek pengendalian jentera 4×4, skil mekanikal, ketahanan, keberanian dan ketabahan dalam mengharungi cabaran alam.
Kesemua peserta merupakan amatur dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang berusia 21 ke atas dan melepasi saringan yang dilakukan di negara masing-masing. Selain dari sihat tubuh badan, peserta juga tidak boleh memiliki lesen perlumbaan dan bukan anggota badan beruniform. Mana aci kalau hantar komando masuk bertanding dengan amatur.

Rasanya ramai peminat yang dah tahu Camel Trophy berakhir pada tahun 1999 dengan pembatalan Camel Trophy Peru selepas penaja utama mereka, Land Rover menarik diri.
Edisi terakhir diadakan pada tahun 2000 di Tonga-Samoa dengan format pertandingan yang diubahsuai berikutan ketiadaan Land Rover yang menjadi tunjang utama mereka sebelum ini.
Kali ini 32 peserta bersaing menggunakan powerboat RIB (Rigid Inflatable Boat) sambil mengeksplorasi keindahan Tonga dan Samoa. Bot Ribtec 655 yang digunakan dibina khas di Southampton dan dilengkapi dengan enjin 4-lejang 130hp keluaran Honda dan menelan belanja hampir £40,000!

Honda bukan hanya membekalkan enjin bot tapi turut memberikan kenderaan sokongan iaitu Honda CR-V. Ha apa lagi abang-abang yang pakai CR-V tu, tepek stiker Camel Trophy selaluh. Land Rover Defender 110 HCPU bagaimanapun masih turut digunakan untuk membawa peralatan yang diperlukan.
Cabaran kali ini memang berbeza kerana tidak melibatkan aktiviti 4×4 tapi lebih kepada acara sukan air. Peserta dibawa mengeksplorasi kawasan terpencil di kepulauan Pasifik, pantai, hutan, lagun dan kampung tradisional.
Aktiviti yang diadakan termasuklah snorkeling, selam scuba, wakeboarding, absiling, mendaki dan pelbagai cabaran eksplorasi lain. Malah terdapat juga acara merentasi perairan dua negara dengan menggunakan kayak kecil. Tak pernah berenang sahih tak layak masuk Camel Trophy ni.

Walaupun edisi terakhir ini boleh dikatakan berjaya namun ia gagal memberikan pendedahan dan publisiti yang dimahukan pihak penaja. Pada masa akan datang mereka mahu lebih fokus kepada fesyen dan bukan lagi prestasi ataupun eksplorasi. Sebab itulah sekarang korang cuma boleh beli pakaian jenama Camel Active dan bukannya Camel Trophy.
Sebenarnya kalau diikutkan hampir mustahil acara Camel Trophy boleh diteruskan selepas tahun 2000 kerana peraturan antarabangsa yang melibatkan industri tembakau. Tengok sahaja pasukan yang ditaja oleh syarikat rokok sebelum ini. Mana ada dah kan. Tapi yang peliknya makin ramai orang hisap rokok.
Jadi sebagai mengimbau kenangan zaman muda mari kita saksikan gambar-gambar dan video Camel Trophy akhir ni. Gambar-gambar ini dirakamkan oleh jurugambar rasmi Camel Trophy, Nick Dimbleby.







