
POLIS SAMAN BAPA SEORANG REMAJA 15 TAHUN – BENAR ANAK PANDU KERETA TANPA LESEN
Tular baru-baru ini apabila sebuah kenderaan jenis Nissan Almera yang dipandu oleh remaja berusia 15 tahun, terlibat dalam kemalangan di Kilometer 1 Jalan Bahau-Juasseh.
Menurut pihak Polis, kenderaan tersebut telah hilang kawalan kemudian terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar pagar serta tiang lampu tepi jalan dan masuk dalam laluan Jalan Pusat Perniagaan Kiara.
Polis mengeluarkan saman terhadap seorang bapa kerana membenarkan anak lelakinya yang bawah umur memandu kenderaan miliknya sehingga kemalangan di Kilometer 1 Jalan Bahau-Juasseh, pada Isnin.

Tiang lampu berkenaan terjatuh mengenai dua buah kenderaan yang diletakkan di kotak parkir di pusat perniagaan itu berdekatan kawasan kemalangan berlaku.
Berikutan itu, kereta dipandu remaja tersebut mengalami kerosakan teruk pada keseluruhan kenderaannya dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, saman telah dikeluarkan terhadap bapa remaja terbabit, mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor.
“Kes ini seterusnya disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati semua pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
“Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak-anak tidak memandu kenderaan tanpa mempunyai lesen memandu yang sah,” ujarnya. – Sinar Harian
- BACA: KEWUJUDAN EV MULA DIRAGUI – PERMINTAAN RENDAH, KURANG UNTUNG
- BACA: 26 PENGUSAHA STESEN MINYAK PETRON TERIMA SURAT PENGHARGAAN DARIPADA PDRM – LAKSANA PROGRAM GO-TO-SAFETY-POINT
- BACA: TEMPAHAN PROTON S70 KINI DIBUKA – 1.5L TURBO, JANA 175HP
- BACA: SKUTER ELEKTRIK TX 1800, TX 3000 DIPERKENALKAN DI MALAYSIA – TAWAR JARAK GERAK SEHINGGA 120KM