
ENJIN NISSAN 1.5 LITER 400HP!
Nissan bukan sahaja mengujakan dunia pemotoran melalui rangkaian kuasa motor elektrik/petrol pada model ZEOD RC untuk perlumbaan Le Mans 24 Hours tahun ini.
Malah, baru-baru ini ia memperkenalkan pula enjin pembakaran dalaman yang dijangka mampu merevolusikan standard prestasi dan kecekapan sesebuah enjin. Dikenali sebagai Nissan DIG-T R, enjin tiga silinder bersesaran 1.5 liter itu akan mengambil alih tugas motor elektrik pada ZEOD RC.
Enjin kecil itu hanya seberat 40 kilogram, tetapi berupaya menjana kuasa sehingga 400hp! Dengan rev mencecah 7,500rpm enjin tersebut menawarkan tork maksimum 380Nm.
Dengan nisbah 10 kuasa kuda untuk setiap satu kilogram, enjin Nissan DIG-T R dikatakan memiliki nisbah kuasa kepada berat lebih baik berbanding enjin baharu yang digunakan pada jentera FIA Formula 1 tahun ini.
Konsep Nissan ZEOD RC fokus kepada mengecilkan enjin dan meningkatkan kecekapannya. Justeru, Nissan telah bekerjasama dengan rakan minyak pelincir yang baru iaitu Total.
Pengeluar minyak pelincir dari Perancis itu menjalin kerjasama rapat dengan pasukan jurutera Nissan untuk membangunkan bahan api serta pelincir bagi memaksimumkan potensi enjin terbabit.
“Nissan akan menjadi pengeluar pertama menggunakan enjin tiga silinder untuk acara sukan bermotor utama di peringkat antarabangsa. Maklumat penting yang diperoleh daripada proses pembangunan enjin ini akan diaplikasikan pada kenderaan Nissan pada masa depan,” jelas Pengarah Sukan Bermotor Global Nissan, Darren Cox.