Artikel Pilihan

ENJIN TOYOTA 2JZ VS BMW B58. MANA LAGI POWER?

Bagi peminat JDM, enjin 2JZ yang dihasilkan oleh Toyota tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia adalah enjin yang menjadi penanda aras bagaimana sebuah enjin 3000cc 6 silinder boleh dihasilkan dalam keadaan standard kilang dan boleh dimodifikasi secara gila-gila tapi masih lagi tahan lasak.

Enjin 2JZ ini diperkenalkan pada tahun 1991 dan unit terakhir dihasilkan pada tahun 2007, menjadi terkenal selepas digunakan oleh Toyota Supra Mark4. Walaupun masih mematuhi gentleman agreement iaitu sekitar 280hp bagi pasaran Jepun, namun bagi pasaran luar negara ia akan menghasilkan pelbagai varian kuasa kuda

Malah jika anda berani, sumbat saja pelbagai ciri modifikasi dan ia berupaya menjana melebihi 1000 kuasa kuda tanpa meletup. Tetapi semasa projek Supra dihidupkan semula oleh Toyota, mereka memilih untuk menggunakan enjin B58 daripada BMW bukannya menghasilkan sendiri enjin 2JZ yang baru.

Kami cuba mengupas persoalan ini dengan mendalam. Tapi jangan terkejut kerana walaupun berbeza dari segi usia, terdapat banyak persamaan antara spesifikasi enjin 2JZ dan juga B58, menjadikannya pilihan untuk Toyota.

Dari segi saiz silinder, enjin 2JZ adalah enjin “square” dimana saiz lejang dan diameter silinder adalah sama, manakala enjin B58 adalah undersquare kenama saiz lejang melebihi saiz diameter. Tapi dari segi kuasa, B58 menghasilkan kuasa kuda yang lebih dengan julat yang lebar, hampir sama dengan 2JZ. Tapi ini tidak menghairankan kerana enjin B58 lebih moden

Walaupun sejarah membuktikan 2JZ mampu menghasilkan sehingga 1000 kuasa kuda, namun beberapa projek yang dilakukan membuktikan bahawa enjin B58 mampu melakukan perkara yang sama dengan hanya menukar turbo, sistem suntikan bahan api dan beberapa komponen lain. Komponen asal seperti blok enjin adalah kekal

Ini kerana enjin 2JZ dan B58 dibina dengan menggunakan aci engkol dan rod penyambung piston dengan kaedah tempaan, secara OEM dari kilang. Kedua dua enjin juga digunakan secara meluas dalam Toyota dan BMW, dengan enjin 2JZ digunakan hampir pada 10 model Toyota.

Bagi enjin B58, ia telah digunakan sehingga 18 model BMW, bermula dari model SUV, sedan, dan juga Convertible BMW Z4. Malah enjin ini juga digunakan pada 4 model bukan BMW seperti Boldmen CR4, Toyota Supra, Ineos Grenadier dan Morgan Plus Six.

Walaupun hampir sama dari segi karekteristik, enjin 2JZ dan B58 masih lagi memiliki perbezaan dari segi rekaan. Blok binaan B58 dihasilkan daripada aloi aluminium manakala 2JZ menggunakan Cast Iron (besi tuang). 2JZ menggunakan sistem turbo yang berbeza dimana B58 menggunakan turbo twin scroll.

B58 juga menggunakan suntikan bahan api terus, sistem pacuan rantai antara aci sesondol dan aci engkol, dan sistem pemasaan injap pada kedua dua injap. Walaupun begitu, enjin B58 banyak bergantung pada sistem elektronik, menjadikan enjin B58 ini “mungkin” tidak mampu menyaingi 2JZ dari segi ketahanan namun ia bergantung pada penjagaan oleh pemilik kenderaan terutama sistem sokongan elektronik, tetapi bukan pada mekanikal enjin

Secara dasarnya, enjin B58 mungkin telah mencapai status quo yang hampir sama dengan enjin 2JZ. Kuasa enjin yang bagus terus dari kilang, berupaya untuk dimodifikasi, digunakan pada banyak model, boleh diharap dan boleh digunakan pada mana-mana model

Malah BMW juga turut menghasilkan enjin prestasi tinggi pada yang dinamakan sebagai S58, yang menggunakan asas B58 tapi untuk kegunaan prestasi luar biasa di litar lumba dengan pengalaman mereka dalam perlumbaan dan M Divisyen

Google ads
Back to top button