Buletin

eRACING GRAND PRIX GLOBAL EDITION KALI KE-5 BERMULA 3 APRIL INI. PLATFORM ASAH BAKAT BAHARU

Axle Sports bakal menganjurkan kejohanan eRacing Grand Prix Global Edition edisi kali kelima yang akan bermula pada 3 April ini.

Kejohanan tersebut akan menyaksikan para pelumba simulasi terhandal dari rantau Asia Tenggara berentap antara satu sama lain malah melibatkan beberapa pelumba terbaik di rantau Asia.

Dalam kejohanan kali ini, Axle melakukan penambahbaikan dari segi format pertandingan dengan memecahkan kepada empat kategori.

Ia bakal menyaksikan para peserta memandu model kereta lumba sebenar di dalam kategori masing-masing antaranya Emas, Perak, Gangsa dan Tembaga.

Bagi kategori Emas dan Perak, para pelumba akan memandu jentera perlumbaan DTM 2016 yang telah diubah suai daripada pengeluar kereta jenama seperti Mercedes, BMW dan Audi.

Kategori Gangsa pula menyaksikan para pelumba akan menggunakan jentera Formula 3 sementara pelumba novis bagi kategori Tembaga akan menggunakan jentera Aquila CR1 yang telah diubah suai mengikut kesesuaian para pelumba.

Kategori Tembaga ini diperkenalkan bagi para peserta yang baharu menyertai sukan pemotoran simulasi supaya dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam mengendalikan simulator.

Pengasas Axle Sports, Alex Yoong berkata penganjuran pertandingan secara maya diperluaskan ke seluruh Asia Tenggara memberi petanda positif kepada Axle Sports dalam mencungkil bakat-bakat baharu.

Beliau yang merupakan bekas pelumba Formula 1 negara menambah selepas kejayaan penganjuran eRacing GP Malaysia pada tahun 2019, pihaknya sentiasa mempunyai perancangan menganjurkan lebih banyak kejohanan.

“Kualiti dipamerkan para peserta yang bertanding sangat berkualiti malah saya sangat berbangga dan berbesar hati dengan prestasi mereka terutama dari segi pemanduan dan profesionalisme.

“Slogan digunakan #virtualtoreality turut membantu kami berusaha untuk merealisasikan impian para pelumba untuk menjadi pelumba sebenar satu hari nanti.” katanya.

Beliau menjelaskan penganjuran pertandingan secara maya sangat sesuai dalam berdepan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, para pemenang atau pelumba yang menunjukkan prestasi baik akan diserap oleh Axle Sports untuk menjalani latihan intensif agar dapat membantu mereka bertanding di trek sebenar suatu hari nanti.

Para pemenang setiap kategori turut akan membawa pulang hadiah ditaja Royal Selangor dan juga T-shirt eksklusif daripada eRacing GP.

Pada awal tahun ini, Axle Sports telah melancarkan Edisi Grand Prix Endurance dimana para pelumba beraksi di platform Assetto Corsa Competizione. Pusingan terakhir yang telah berlangsung pada 21 Mac menyaksikan 50 buah kereta lumba mengambil bahagian di dalam perlumbaan yang berlangsung selama 4 jam.

Pemenang untuk Edisi GP Endurance ini juga akan membawa pulang hadiah tajaan daripada Royal Selangor.

Untuk maklumat lanjut mengenai eRacing GP, anda boleh melayari laman web www.eracing-gp.com.

Google ads
Back to top button