Buletin

PROTON X90 RASMI DILANCARKAN. 4 VARIAN, 6 & 7 TEMPAT DUDUK, 188HP/300NM, 6 PILIHAN WARNA, BERMULA RM123,800

Proton akhirnya melancarkan secara rasmi SUV flagship X90 ke pasaran tempatan. Dibuka untuk tempahan sejak 10 April lalu, X90 yang dibina berasaskan kepada model geely Haoyue itu dikatakan sudah menerima lebih 1,500 unit tempahan awal. 

Seperti yang diumumkan sebelum ini, X90 bakal ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship. Antara ciri yang membezakan varian itu ialah Flagship hadir dengan susun atur enam tempat duduk (2+2+2) bersama dua captain seats, manakala tiga varian lain tujuh tempat duduk (2+3+2).

Harga X90 adalah seperti berikut: 

  • Proton X90 Standard – RM123,800
  • Proton X90 Executive – RM130,800
  • Proton X90 Premium   – RM144,800
  • Proton X90 Flagship.  – RM152,800

Menjadi SUV segmen D pertama Proton, X90 akan bersaing secara langsung dengan model-model sepertu Volkswagen Tiguan Allspace, Mazda CX-8, Kia Sorento dan Hyundai Santa Fe. Dari segi dimensi, iai mempunyai panjang 4,825mm, 1,900mm lebar, 1,785 mm tinggi dengan jarak roda 2,815mm. 

Bahagian hadapan X90 diserlahkan menerusi rekaan gril Chrome Pin dan Etheral Bow pada bahagian bawah. Sekali pandang, grill itu dah macam grill Mercedes-Benz. Ia kemudian diapit dengan sepasang lampu LED utama yang nipis, manakala bahagian bawah dipasang tiga unit lampu nyalaan siang (DRL) LED.  

Dari arah sisi, X90 menggunakan rim bersaiz 19 inci yang dibalut tayar Continental Eco Contact 6. Imej SUV disegarkan dengan cladding plastik berwarna hitam pada arca roda. Selain kemasan krom pada bahagian bawah pintu, bingkai tingkap dan roof rails. 

Rekaan belakang bagaimanapun lebih ringkas dengan spoiler warna badan bersama lampu brek ketiga, bar krom yang menyambungkan sepasnsang lampu belakang nipis, emblem PROTON yang besar dan kemasan perak pada bawah bampar. 

Semua varian X90 dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo tiga silinder dengan sistem hibrid ringan 48 volt Belt Starter Generator (BSG). Enjin yang mampu menghasilkan kuasa 188hp dan 300Nm itu kemudaian dipadankan dengan kotak gear automatik klac berkembar 7 kelajuan. 

Gabungan enjin dan sistem mild hybrid itu menawarkan pecutan dari titik pegun 10 peratus lebih baik, 15 peratus lebih responsif ketika memotong dan 13 peratus lebih rendah emisi. 

Aspek pengendalian pula dipertingkatkan menerusi penggunaan suspensi jenis Multi-Link pada roda belakang. Sebagai perbandingan, model sama iaitu Geely Okavango yang dijual di Filipina menggunakan suspensi torsion beam sahaja. 

Ruang kabin tampil mewah dan moden dengan susun atur yang kemas. Papan pemuka menggunakan kombinasi kemasan berwarna hitam, krom dan perak. Kebanyakan titik sentuhan juga dipasang dengan material kulit lembut. Panel instrumen itu cukup besar untuk memuatkan segala maklumat pemanduan yang diperlukan oleh pemandu. 

Skrin sentuh bersaiz 12.3 inci itu menawarkan paparan yang jelas dan tajam. Namun, seperti model Proton yang lain, ia tidak dilengkapi ciri Apple CarPlay atau Android Auto. Sebaliknya, anda harus hanya berpuas hati dengan peta navigasi yang disediakan oleh ATLAS OS. 

Duduk di kerusi penumpang baris kedua, ia nyata selesa dengan corong pendingin hawa diposisikan pada bahagian bumbung. Penggunaan warna hitam pada balutan tempat duduk juga memastikan ia tahan lebih lama dan tidak mudah nampak kotor. 

Tempat duduk baris ketiga bagaimanapun lebih sesuai untuk kanak-kanak kerana ruang kakinya yang agak sempit. Namun, penumpang masih disediakan dengan corong pendingin hawa, pemegang minuman dan port pengecasan USB. 

Setiap pembelian X90hadir dengan pakej Standard yag merangkumi jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan, pakej data 1GB sebulan selama lima tahun, kos buruh percuma untuk enam kali servis, kadar faedah pinjaman bermula 2.1 peratus setahun dan program insurans Proton.

Lebih menarik lagi, 4,000 tempahan terawal akan menerima pakej yang merangkumi data tambahan 4GB sebulan untuk lima tahun, jam tangan Proton X-Watch bernilai RM1,499 seutas, pakej aksesori bernilai RM779 dan naik taraf program insurans Proton.

Apa pun kelebihan dan kelemahan yang ada pada X90, ini merupakan SUV keluarga yang wajar anda pertimbangkan sebelum membuat sebarang pembelian. 

GALERI

Google ads
Back to top button