Buletin

MALAYSIA AUTOSHOW 2023: AVETA VADV 150 HYBRID – PERAKAM VIDEO DIGITAL, 16.2HP, TOP SPEED 115KM/J, HARGA RM13.9K

Bersempena acara Malaysia Autoshow 2023, AVETA Malaysia mempamerkan Aveta VADV 150 Hybrid 2023.

Tetapi jika dilihat sekali imbas, pasti ramai menyangka bahawa Aveta VADV150 adalah klon Honda ADV 150.

Walaupun agak serupa, mengenai teknologi dalam enjin, Aveta VADV150 boleh dikatakan lebih baik berbanding ADV 150, bahkan ADV 160.

Dari segi saiz, skuter ini berukuran 2,072mm (panjang), 760mm (lebar), 1,260mm (tinggi) sementara tinggi pelana 775mm dan dibekalkan tangki minyak 9.3 liter.

Aveta VADV 150 Hybrid dipadankan bersama lampu LED adaptif boleh laras automatik, panel meter LCD TFT bersaiz 7-inci dengan spidometer TBOX.

Lebih menarik, ia merupakan model pertama didatangkan dengan Digital Video Recorder (DVR).

Penampilan skuter ini diserlahkan lagi dengan rim aloi 14-inci (depan) dan rim aloi 13-inci (belakang) selain dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran untuk kedua-dua roda.

Beralih kepada kuasa, Aveta VADV 150 Hybrid dijana oleh enjin 4-lejang 4-injap silinder tunggal 149cc SOHC penyejukan cecair dengan suntikan bahan api elektronik (EFI), menghasilkan 16.2hp dan tork 14.6Nm. Kelajuan maksimum pula dihadkan 115kmj.

Selain itu, ia turut dibantu oleh Hybrid Assist bagi membolehkan skuter ini memecut hingga 50km/j menerusi Smart Motor Generator.

Perincian lain skuter ini ialah ia menggunakan fork teleskopik tidak boleh laras di bahagian depan serta dwi-absorber dengan subtangki boleh laras prabeban.

Ciri lain yang turut hadir termasuklah sistem penghidup tanpa kunci (keyless), visor angin boleh laras, ketersambungan Bluetooth, Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS), port USB dan GPS selain, kapasiti ruang simpanan bawah pelana boleh memuatkan 1 topi keledar.

Aveta VADV 150 Hybrid tersedia dalam tiga pilihan warna, Blue Sapphire (biru), Red Ruby (merah), Yellow Topaz (kuning) dan dijual pada tanda harga RM13,980.

GALERI:

Google ads
Back to top button