
ESB STYLE TAWAR KIT BADAN ALA DEFENDER UNTUK HONDA N-VAN
Berita baik buat para peminat Land Rover Defender yang tidak berkemampuan untuk membeli SUV off-road mewah itu, tapi masih lagi mahukan imej Defender pada kereta mereka.
Syarikat Jepun ESB Style telah melancarkan pakej kit badan baharu DAFUNDER yang membolehkan pemilik N-Van mengubah rupa paras kei-car mereka menjadi seakan sebuah Defender mini.
Pada bahagian hadapan, N-Van ini telah dipadankan dengan bampar baharu beserta dengan rekaan jeriji yang mengikut rekaan Defender, diikuti dengan padanan rim bersaiz 14 inci dengan tayar all-terrain.

ESB Style juga turut memasang kit suspensi yang boleh meninggikan jarak lega bumi sebanyak satu inci, serta skid plate aluminium palsu pada bahagian belakang bagi melengkapi imej ranggi DAFUNDER pada N-Van ini.
‘Defender’ bersaiz cilik ini masih lagi menggunakan enjin 660 cc turbo yang mampu menghasilkan kuasa 63 hp dan 104 Nm, dipadankan dengan sistem kotak gear CVT tanpa sebarang talaan dilakukan.
Jika anda tinggal di Jepun dan berminat untuk membeli kit badan ini, usah risau kerana kosnya tidaklah semahal anda membeli sebuah Defender sebenar.
Bampar depan berharga ¥70,000 (RM2,310), diikuti dengan bampar belakang (¥30,000 – RM990), kit suspensi (¥38,000 – RM1,254) dan rim bersaiz 14 inci (¥56,000 atau RM1,848).





