Buletin

ETS, KOMUTER BERGESEL. SEORANG PENUMPANG CEDERA RINGAN

Seorang penumpang cedera ringan apabila komuter tiga gerabak yang dinaikinya bergesel dengan sebuah kereta api elektrik (ETS) berhampiran Stesen Kuang. petang semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Kamarulzaman Zainal berkata 29 penumpang komuter dan 93 penumpang ETS yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian pada 6.37 petang itu.

Beliau berkata insiden berlaku ketika tren komuter itu dalam perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Sungai Buloh sebelum bergesel dengan ETS dari Stesen Padang Besar menuju ke Stesen KL Sentral.

“Satu landasan di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Rawang tidak terhalang dan masih boleh digunakan untuk perkhidmatan tren-tren lain. Kita jangkakan berlaku sedikit kelewatan bagi perkhidmatan tren-tren tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata penumpang yang mengalami kecederaan di tangan itu telah diberi rawatan kecemasan oleh kakitangan KTMB di Stesen Kuang sebelum mangsa meneruskan perjalanan ke Stesen Sungai Buloh.

Kamarulzaman berkata para penumpang ETS yang terbabit juga telah dipindahkan menaiki ETS berikutnya untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing dan  pihaknya sedang giat menjalankan kerja-kerja baik pulih di lokasi kejadian.

Siasatan terperinci juga telah dimulakan bagi mengenal pasti punca kejadian dan semua agensi berkaitan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat  telah dimaklumkan mengenai siasatan itu, katanya. – Bernama

Google ads
Back to top button