
KERETA API TERGELINCIR DI SEGAMAT. SEMUA SELAMAT
Semua penumpang dan kakitangan selamat apabila sebuah kereta api tergelincir berhampiran Stesen Genuang, Segamat, Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Kamarulzaman Zainal berkata dalam insiden 2.40 pagi itu, kereta api dengan 10 penumpang berkenaan dalam perjalanan dari Stesen Gemas ke Stesen Johor Bahru Sentral sebelum tergelincir di KM 595, kira-kira 5km dari Stesen Genuang.
“Kegelinciran bagaimanapun hanya melibatkan dua gerabak dan satu lokomotif. Landasan utama masih boleh digunakan serta tidak menghalang perkhidmatan tren lain,” katanya dalam kenyataan.

Kamarulzaman berkata sedikit kelewatan dijangka berlaku di sektor selatan antara Gemas dan Johor Bahru kerana semua tren yang melalui kawasan kejadian telah diarahkan untuk memperlahankan kelajuan.
Pihaknya turut memohon maaf kepada penumpang yang terlibat dalam kejadian itu.

Beliau berkata kenderaan alternatif turut disediakan bagi membolehkan semua penumpang dapat meneruskan perjalanan ke Stesen Johor Bahru Sentral.
Menurutnya, usaha baik pulih juga giat dijalankan di lokasi kejadian dan siasatan terperinci juga telah dimulakan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Katanya, siasatan turut membabitkan badan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). –Bernama/FB KTMB
- BACA: KERETA API LALU BAWAH JAMBATAN RENDAH, NILAI KEROSAKAN KERETA FORD CECAH RM8.2 JUTA
- BACA: POLIS SWITZERLAND CARI PENUMPANG KERETA API TERTINGGAL JONGKONG EMAS BERNILAI RM1 JUTA
- BACA: TERTIDUR DI ATAS LANDASAN, 16 MIGRAN DIGILIS KERETA API DI INDIA
- BACA: INDIAN RAILWAYS UBAH SUAI 20,000 GERABAK KERETA API JADI PUSAT KUARANTIN COVID-19