
KENAPA GENERAL MOTOR TIDAK MAHU GUNAKAN APPLE CAR PLAY & ANDROID AUTO?
Salah satu ciri kereta moden yang paling popular sekarang ialah ciri ketersambungan antara telefon pintar pemandu dan juga dengan sistem multimedia yang ada pada kenderaan. Ciri ini membolehkan pemandu menggunakan semua perisian pada telefon pintar dengan menyambungkannya pada sistem multimedia kenderaan.
Google Maps, Waze, Google Assistant, Spotify dan banyak lagi ciri-ciri lain akan disambungkan pada sistem multimedia, dipaparkan pada skrin bagi memudahkan pemanduan harian. Namun dalam perkembangan terkini, GM nampaknya mengambil satu langkah ke belakang dengan mengumumkan bahawa kenderaan mereka pada masa akan datang tidak lagi akan menggunakan ciri ini
Sebaliknya mereka akan membangunkan sendiri sistem infotainmen yang berasaskan Google, termasuklah memasukkan ciri Google Maps, Google Assistant dan pelbagai perisian yang boleh ditambah mengikut kehendak pemandu.
Mengikut jurucakap GM, sistem baru yang akan digunakan oleh GM nanti membolehkan GM mengawasi, memerhati tingkah laku pengguna dan mengutip data pengguna dalam usaha untuk memahami kehendak pengguna pada masa akan datang. Data ini akan dikumpulkan dan digunakan untuk tujuan pemasaran dan pembangunan projek pada masa akan datang
Apa yang akan dibuat oleh GM nanti tidak pernah dilakukan oleh pengeluar kenderaan lain tapi dengan menggunakan sistem perisian sendiri berasaskan Google nanti GM mampu mendapatkan maklumat berkenaan dengan cara pemanduan pelanggan, lagu yang dipilih, cara pengecasan kenderaan dan pelbagai maklumat lain
Maklumat ini gagal dikongsikan oleh Apple Car Play dan Android Auto menjadikan GM tidak pasti apa yang dilakukan oleh pemandu selepas kereta mereka dibeli. Jika diperlukan, GM akan menawarkan pelbagai ciri tambahan baru yang sesuai dengan kehendak pelanggan dengan kaedah subscription atau langganan bagi menjana pendapatan tambahan.
“Kenderaan sekarang boleh mengenali pemandu dan pemilik dengan lebih dekat berbanding dengan telefon pintar” ujar jurucakap GM. Walaubagaimanapun tindakan GM ini masih menjadi tandatanya kerana kami yakin tidak semua pengguna GM mahuka data peribadi mereka terdedah sewaktu menggunakan kenderaan
Salah satu kenderaan yang menggunakan sistem multimedia berasaskan Google ialah Volvo. Malah Volvo sangat cemerlang dalam mengintegrasikan sistem multimedia sehinggakan penulis tidak perlu menggunakan Android Auto ketika memandu uji. Malah sistem Volvo akan mengira baki perjalanan dengan baki bateri yang ada.


