
KENAPA NISSAN GT-R35 SEMAKIN MAHAL? KAN KERETA LAMA
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Tempoh hari kita sudah bersama-sama mengupas tentang kenaikan harga bagi Honda Civic FD Type R. Hari ini kita kupas pula tentang Nissan GT-R R35 keluaran pertama iaitu model CBA yang dilahirkan pada tahun 2008-2010.
Saban hari, jentera “Japanese Domestic Market” atau JDM semakin tinggi harganya. Nissan GT-R R35 tidak terkecuali dalam mengikuti trend ini.
“Roadtax Mahal”
“Maintenance Mahal”
“Minyak Kuat”
“Tak Rare”
“Auto”
Ini antara sebahagian komen-komen golongan “baik beli” yang wujud di komuniti kita. Walaupun ramai golongan “baik beli” ini, namun ia tidak menjejaskan pasaran jentera JDM ini dari terus mendaki.
Hal ini kerana bagi mereka yang mampu dan menghargai karya agung dari Nissan ini tidak akan berkata banyak tentang jentera ini. Model CBA ini pernah jatuh harganya sekitar RM160,000 sahaja pada suatu ketika dahulu. Namun hari ini, harganya adalah sekitar RM248,000 sehingga RM400,000 mengikut kondisi.
Baiklah. Sekarang kita senaraikan faktor utama yang menyebabkan nilai jentera ini kekal dan bakal naik.
Produksi Ditamatkan
Model Nissan GT-R R35 T-Spec yang dikeluarkan untuk keluaran tahun 2022 dikatakan merupakan model terakhir bagi model R35.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan tindakan pihak Nissan mengeluarkan model ini dengan 2 pilihan warna ikonik GT-R iaitu Midnight Purple & Millenium Jade.
Disebabkan ura-ura pemberhentian model R35, ia turut menyumbang kepada lonjakan unit yang sedia ada. Walaupun tidak “Rare”, namun bilangan jentera ini diatas jalan bakal kekal ataupun berkurang disebabkan faktor kemalangan dan sebagainya. Situasi ini merupakan faktor utama yang menyebabkan nilai jentera ini naik dari semasa ke semasa.
Di Malaysia, jentera ini tidak dibawa masuk secara rasmi oleh pengedar sah Nissan. Ia dibawa masuk secara “Recon” oleh pengedar kenderaan import terpakai. Usia bagi jentera ini juga diantara 12-14 tahun.
Disebabkan harga di peringkat global naik, secara tidak langsung ia mempengaruhi pasaran di Malaysia.
Kos Penyelenggaraan Semakin Murah
Jentera ini sudah berada di pasaran selama 14 tahun. Oleh yang demikian, alat gantinya mudah diperolehi pada waktu sekarang.
Disebabkan akses yang mudah dan bekalan yang tidak terhad, ia menyumbang kepada penurunan harga alat ganti. Harga alat ganti yang rendah memberi impak secara langsung kepada kos penyelenggaraan jentera ini.

Disebabkan kos penyelenggaraan yang rendah, ramai di antara kita yang semakin mampu untuk membela jentera ini. Walaupun sebenarnya tidak murah, namun ia lebih murah dari 5-10 tahun yang lepas. Ditambah pula dengan lambakan alat ganti “Aftermarket” baik yang berjenama atau tidak.
Apabila ramai yang mampu, ia secara tidak langsung mempengaruhi konsep “Supply & Demand” di pasaran negara kita. Harus diingat jentera ini berusia 12-14 tahun. Oleh itu, kita tidak lagi boleh mengimport masuk jentera ini. Jumlah jentera ini yang ada di pasaran adalah terhad. Jumlah yang terhad, permintaan yang meningkat. Secara automatik menaikkan harga jualannya.
Hakikat Sebagai Kereta Mewah Berprestasi Tinggi
Kita kena terima hakikat bahawa jentera ini tidak pernah murah. Ketika ia dilancarkan pada tahun 2007/2008, harga jualannya bagi unit paling asas ialah ¥7,770,000 iaitu sekitar RM282,000. Harga ini ialah harga di Jepun dan tidak termasuk cukai. Ini adalah harga 14 tahun lepas. Mengikut data dari Malaysia CPI Inflation Calculator, nilai ini bersamaan RM372,000 selepas dikira faktor inflasi.
Jentera ini bukan jentera yang mampu dimiliki rakyat marhaen. Ia untuk orang berkemampuan. Jika kita lihat di pasaran “Recon”, jentera ini mempunyai nilai sekitar RM600,000 sehingga RM1.8 juta mengikut varian tertentu, dari varian “Pure”, “Prestige”, “Black Edition” sehinggalah “Nismo”.
Seperti hakikat yang ia memang tidak pernah murah, kita juga harus menerima hakikat yang ia sukar dan hampir tidak mungkin untuk jatuh harganya sehingga bawah RM100,000.

Oleh yang demikian, dengan info ini mampu membantu anda untuk mengelakkan diri dari terjerumus dari sindiket “Scammer” lebih-lebih lagi yang menjual jentera ini jauh dibawah harga pasaran.
Ia adalah GT-R
Ini merupakan faktor terkuat. Ia adalah sebuah GT-R. Apabila kita mengupas tentang GT-R, ia bukan sekadar nama semata-mata. Ia sarat dengan teknologi serta perincian melangkaui zaman.
Enjin jentera ini dibina oleh 5 individu yang dikenali sebagai “Takumi Craftsmen”. Teknologi “All Wheel Drive Independent Transaxle” pula adalah yang pertama di dunia bagi jentera produksi. Teknologi ini juga secara tidak langsung memberikan nisbah berat yang seimbang pada bahagian hadapan dan belakang jentera disebabkan kedudukan kotak gearnya di belakang.
Jentera ini juga dilengkapi dengan sistem ATESSA-ETS yang sangat maju dan dipadukan bersama sistem “Vehicle Dynamic Control”. Sistem ini bertujuan memberikan pengendalian serta cengkaman yang mantap ketika jentera dipandu. Harus diingat, kuasa yang kuat mesti datang sekali dengan pakej pengendalian yang hebat.
Sistem suspensi jentera ini juga menggunakan sistem “Double Wishbone” pada bahagian hadapan dan “Independent Multilink” pada bahagian belakang dan dipadukan dengan penyerap hentak “Bilstein Damptronic”. Kombinasi ini turut memberikan pengalaman pemanduan yang padu tanpa menghiraukan aspek keselesaan. Situasi ini boleh berlaku disebabkan penyerap hentak ini boleh dilaras kadar kekerasannya melalui suis yang terdapat di dalam kabin.
Jentera ini menurut pihak Nissan dibuat sebagai “Daily Driving Supercar”. Ini bermakna ia sesuai untuk dipandu di litar mahupun sebagai pengangkutan harian, berbeza dengan pencabarnya yang lain. Rekaan kabin yang ergonomik juga secara tidak langsung memudahkan pemandu mengawal setiap sistem kenderaan dengan baik. Unit “Instrument Cluster”, “Multifunction Display”, “Infotainment”, “Airconditioning Switches” dan lain-lain lagi direka supaya mudah diakses dan memudahkan pemandu. Semua ini diambil kira. Ini lah yang kita panggil sebagai perincian.

Jadi Tuan-Tuan, inilah sedikit sebanyak yang kami dapat kongsikan tentang kenapa Nissan GT-R R35 semakin mahal. Jentera ini merupakan simbol kehebatan, kekuatan, karisma serta mewah. Simbol ini datang dengan harga yang tinggi. Akhir kata, jentera ini dibuat untuk mereka yang mampu