Buletin

FAM, LITTLE JOE KOLABORASI PERKENAL PRODUK EDISI KHAS KEDUA LITTLE JOE-HARIMAU MALAYA

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Little Joe Malaysia berkolaborasi memperkenalkan produk penyegar udara Little Joe-Harimau Malaya edisi kedua di Wisma FAM, Kelana Jaya, Petaling Jaya.  

Pengenalan produk edisi khas itu bertepatan sempena menjelang kejohanan berprestij Piala Suzuki AFF 2020 yang dijadual berlangsung bulan hadapan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi melihat kolaborasi kedua bersama Little Joe Malaysia itu akan menyuntik semangat serta memberikan inspirasi kepada skuad Harimau Malaya untuk memberikan yang terbaik pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura nanti. 

“Komitmen dizahirkan barisan penaja termasuk Little Joe perlulah dijadikan inspirasi kepada semua pemain kebangsaan untuk memberikan persembahan terbaik.

“Mewakili FAM serta skuad Harimau Malaya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Little Joe kerana mempercayai kemampuan serta kebolehan  pemain-pemain kami.  

“Besar harapan saya agar jalinan Kerjasama ini akan diteruskan di masa hadapan demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” katanya.

Selain majlis pelancaran produk Little Joe-Harimau Malaya, majlis menandatangani perjanjiaan penajaan turut diadakan selepas ia ditunda pada Ogos lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dijalankan seluruh negara. 

Hadir sama ialah Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar dan Ketua Pegawai Operasi Little Joe Malaysia, Mohammad Shairadzi Shahar.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Little Joe Malaysia, Mohamad Farhan Mohd Fawzi berkata kejayaan kolaborasi pertama pada 31 Ogos lalu yang amat menggalakkan menjadi inspirasi kepada Little Joe untuk melancarkan penyegar udara Little Joe-Harimau Malaya edisi kedua ini. 

“Impak positif daripada penjualan produk Little Joe-Harimau Malaya edisi pertama membuatkan kami mahu meneruskan kolaborasi kedua ini bersama skuad kebangsaan. 

“Menerusi produk edisi kedua ini, kami di Little Joe berharap sokongan penyokong skuad Harimau Malaya tidak pudar dan dapat menyuntik semangat kepada barisan pemain di Singapura nanti,” ujarnya.

Farhan menambah kolaborasi yang terjalin bersama FAM dapat meningkatkan keyakinan para pelanggan terhadap jenama Little Joe.

Beliau menjelaskan setiap jualan produk edisi khas Little Joe-Harimau Malaya dapat menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara.

Little Joe-Harimau dijual secara berperingkat di semua outlet Petronas. Selain itu, peminat Harimau Malaya juga boleh mendapatkan pewangi udara Little Joe-Harimau Malaya ini di Shopee, Lazada, stesen minyak BHP terpilih dan dijangka memasuki pasaran AEON STORE, AEON BIG, & AL IKHSAN. 

Google ads
Back to top button