
FBI BONGKAR HARTA MEWAH BEKAS ATLET OLIMPIK – 62 MOTOSIKAL BERNILAI RM192 JUTA DIRAMPAS
Dalam perkembangan terkini, FBI mendedahkan gambar puluhan motosikal mewah yang dipercayai milik Ryan Wedding, bekas atlet snowboarding Olimpik Kanada yang kini dikehendaki sebagai dalang dadah antarabangsa.
Rampasan itu berlaku di Mexico baru-baru ini, menurut kenyataan FBI Los Angeles yang dikongsi melalui media sosial pada Isnin.
Wedding, 44 tahun, kini tersenarai dalam “Ten Most Wanted Fugitives” FBI. Dia disyaki mengendalikan rangkaian penyeludupan kokain yang bermula dari Colombia, melalui Mexico dan California Selatan, sebelum dihantar ke Kanada serta destinasi lain.
Rampasan di Mexico dilaporkan melibatkan motosikal bernilai kira-kira $40 juta (RM192 juta), dipercayai milik lelaki yang menjadi buruan itu.

Selain motosikal, FBI turut menyiarkan gambar barangan lain yang dirampas daripada beberapa premis, termasuk dua medal Olimpik dan beberapa karya seni.
Kerjasama erat antara FBI, Los Angeles Police Department, Royal Canadian Mounted Police, dan pihak berkuasa Mexico dikatakan antara faktor kejayaan operasi itu.
Menurut pihak berkuasa Mexico, rampasan itu merangkumi 62 motosikal mewah, dua kenderaan lain, karya seni, dadah, dan barang-barang lain daripada empat premis di Mexico City dan wilayah sekitarnya.
Mereka menegaskan usaha ini sebahagian daripada komitmen untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam membanteras jenayah berat dan keganasan transnasional.
Wedding sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Persekutuan Los Angeles tahun lalu atas pelbagai tuduhan, termasuk menjalankan perusahaan jenayah berterusan dan penglibatan dalam pembunuhan berkaitan jenayah terancang.
November lalu, tuduhan baru mendakwa dia mengarahkan pembunuhan seorang saksi kes persekutuan di Colombia, yang ditembak berulang kali di sebuah restoran.
Pihak Department of State Amerika Syarikat menawarkan ganjaran sehingga $15 juta (RM72 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan atau sabitan Wedding, yang dipercayai masih berada di Mexico dengan perlindungan kartel Sinaloa.
- BACA: PERANG EV CHINA MAKAN TUAN, JENAMA KECIL MENUNGGU MASA REBAH
- BACA: PERODUA DIJANGKA AMBIL ALIH KILANG TAN CHONG SERENDAH, NILAI DIANGGAR RM500 JUTA
- BACA: SERBA MEWAH, SERBA PINTAR – XPENG X9, MPV ELEKTRIK YANG MENGUBAH SEGALANYA
- BACA: JEPUN KETINGGALAN, CHINA PULA MENDOMINASI JUALAN KERETA GLOBAL







