Artikel Pilihan

FERRARI 328 GTS CONCISO CONCEPT – PERCAYALAH INI MEMANG FERRARI WALAUPUN RUPANYA KURANG HENSEM

Ferrari model one-off memang sangat jarang ditemui dan memerlukan perbelanjaan yang melebihi jangkauan manusia biasa untuk memilikinya. Pemiliknya pula semestinya bukan calang-calang orang. Contohnya Ferrari SP12 EC one-off yang dihasilkan khusus untuk lagenda muzik Eric Clapton, Ferrari P4/5 untuk James Glickenhaus pewaris empayar pelaburan ternama, Ferrari SP Arya yang dihasilkan khusus untuk billionair India, Cheerag Ayra dan banyak lagi. Cuma satu unit sahaja dihasilkan dan inilah betul punya special edition dik. Mana boleh special edition pada stiker je.

Okey itu kebiasaannya la. Memang model-model one-off ini akan berada dalam koleksi hartawan-hartawan di seluruh dunia dan bila ia dilelong harganya kan semakin meningkat. Tapi jangan bimbang jika bajet anda untuk Ferrari one-off agak kecil kerana sebuah model seumpamanya bakal dilelong dengan harga yang agak murah (untuk sebuah Ferrari one-off).

Kereta yang dimaksudkan dinamakan Ferrari 328 GTS Conciso Concept keluaran tahun 1989 dan merupakan hasil rekaan Michalak. Ia akan dilelong oleh RM Sotheby pada bulan May akan datang dan tidak diberikan harga rizab. Dengan kata lain ia boleh menjadi milik sesiapa sahaja yang menawarkan harga yang bersesuaian dengan kehendak pemilik. Tahun lepas kereta ini telah bertukar tangan dengan harga USD141,000 (RM554,000). Cukup murah bukan untuk sebuah model one-off Ferrari.

BACA: FERRARI 512S MODULO – FERRARI PALING PELIK PERNAH DIHASILKAN (+VIDEO)

Kenapa ianya cukup murah? Mungkin ia terletak pada rupa paras kereta ini yang kami rasakan kurang cantik untuk sebuah Ferrari. Okey bukan sahaja tak cantik tapi buruk betul la. Seperti nama yang diberikan padanya, ia memang diasaskan daripada Ferrari 328 GTS 1989. Namun begitu ia hanya didedahkan kepada umum pada Frankfurt Motor Show 1993. Punyalah lama diperam pemilik sebelum didedahkan agaknya dia segan kot takut kena gelak dengan orang ramai.

Ia dikuasakan oleh enjin asal 3.2-liter V8 yang mampu menghasilkan 270 bhp kuasa yang kemudian disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear manual 5-kelajuan. Okey kereta ini juga mempunyai kelebihan di mana berat keseluruhannya telah dikurangkan sebanyak 360 kilogram. Ini bermakna ia mempunyai nisbah kuasa kepada berat yang lebih baik berbanding model asal.

Walaupun rupanya agak pelik, macam robot keluaran Jepun pun ada tapi kereta ini mempunyai beberapa kualiti yang menarik. Satu daripadanya ialah ia tidak mempunyai pintu ataupun bumbung sama seperti sebuah jentera F1. Dan sudah tentu pemanduannya berbeza daripada kereta biasa.

Apapun perasaan memandu sebuah kereta one-off memang tidak dapat dijual beli. Mana tidaknya, anda tidak akan menemui kereta lain yang sama dengannya. Ada sebijik je yop atas muka bumi ni.

GALERI:

Google ads
Back to top button