Buletin

FERRARI F2001 MICHAEL SCHUMACHER BERJAYA DIJUAL DENGAN HARGA RM31 JUTA

Baru-baru ini kami ada  menyiarkan berita tentang jentera F1 Ferrari Michael Schumacher yang bakal dilelong kepada umum. Kini ia sudahpun terjual dalam satu lelongan awam dan berjaya mencipta rekod baru sebagai kereta F1 termahal berjaya dijual dengan harga USD7.5 juta (RM31 juta boh).

Ia merupakan sebuah Ferrari F2001 dan pernah digunakan oleh lagenda F1 sendiri iaitu Michael Schumacher dan berjaya mendominasi perlumbaan F1 pada tahun 2001. Kini sekali lagi ia mencipta kejutan sebagai jentera F1 paling mahal pernah dilelong.

Schumacher berjaya memenangi  sembilan perlumbaan dengan jentera F2001 pada musim tersebut. Daripada beberapa buah jentera F2001 yang dihasilkan oleh pasukan Scuderia Ferrari untuk Schumacher dan rakan sepasukannya, Rubens Barrichello pada musim tersebut, sang juara telah memandu jentera di pada GP Monaco dan Hungary dan telah memenangi kedua-dua pusingan dengan kereta ini. Ori punya ni bukan klon tau.

Schumacher menamatkan perlumbaan penghujung musim dengan 123 mata, hampir dua kali ganda berbanding mata yang dicatatkan pencabar terdekat, David Coulthard. Malah sebenarnya tidak ada satu pun perlumbaan pada musim 2001 di mana jentera F2001 gagal menaiki podium. Kira memang sapu bersih la.

BACA: KERETA FERRARI F2001 SCHUMACHER INI MUNGKIN MENJADI MILIK ANDA

Disebabkan kerana itulah jentera F2001 ini cukup bernilai dan menjadi buruan para pengumpul. Malah jarang sekali ia memasuki lelongan sekaligus mampu mencatatkan harga yang cukup baik.

Selepas lelongan ditamatkan di New York Khamis lalu, seorang pengumpul meletakkan harga USD7,504,000 sekaligus memenangi lelongan tersebut. Ia jauh melebihi anggaran USD4.5 hingga 5 juta yang disasarkan oleh Sotheby’s Contemporary Art Evening Sale.

Rekod jentera F1 sebelum ini yang berjaya dilelong ialah pada harga USD3,198,500 untuk sebuah lagi jentera F1 moden. Malah jangan terkejut kerana ia juga jentera yang digunakan Schumacher: F2004 dan juga dilelong oleh Sotheby di Maranello.

Kalau anda berminat untuk memiliki jentera seumpama ini suatu hari nanti bolehlah mula menyimpan bermula hari ini. Mana tahu 100 tahun lagi tabungan anda mencecah USD100 juta berkat menyertai skim MLM? Kalau panjang umur la kan?

GALERI:

Google ads
Back to top button