
FERRARI F355 IALAH KERETA PERTAMA DENGAN ‘PADDLE SHIFT’ – MAKIN SENANG KE MAKIN SUSAH?
Pengeluar yang menyertai Formula 1 selalu menggunakannya sebagai strategi pemasaran. Berbeza dengan pasukan Ferrari yang tidak memerlukan kaedah sedemikian untuk meyakinkan lembaga pengarah mereka untuk kekal dalam F1. Ada teknologi F1 yang kemudiannya dipindahkan kepada kereta produksi biasa tapi biasanya ia juga lebih kepada penjenamaan. Sehingga kini pun hanya Mercedes-AMG One yang betul-betul menggunakan enjin F1.

Antara teknologi F1 yang paling menonjol pada kereta produksi ialah kotak gear semi auto dengan pedal tukaran. Ia diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 1997. Sebenarnya ia bukan teknologi F1 sebenar pun tapi kotak gear rekaan baru yang beroperasi dengan gaya sama.
Kereta yang dimaksudkan ialah Ferrari F355. Kenal ke generasi TikTok ni dengan F355? Alah yang mamat kerek berlagak dengan Paul Walker dalam Fast and Furious edisi asal. Tak kenal jugak? Lantaklah. F355 ialah pengganti kepada 348 dan kemudian digantikan dengan 360 Modena.

F355 ni memang berkuasa pada zamannya dengan enjin 3.5 liter V8 lima enjap per selinder. Ia juga dilengkapkan dengan conrod titanium heavy duty dan piston yang ditempa agar lebih tahan lama. Mampu dipacu sehingga 8,500 rpm dan hasilnya ialah 380 hp pada roda belakang.
Dalam keadaan standard pun F355 ni dah cukup laju tapi Ferrari rasa lebih banyak potensi yang boleh dicungkil jadi lahirlah varian istimewa yang dinamakan F355 F1. Ciri F1 lain yang ada padanya ialah faktor aerodinamik dengan bahagian bawah yang cukup rata untuk kestailan sewaktu memecut.
Pada peringkat awal F355 cuma ditawarkan dengan kotak gear manual 6-kelajuan. Selepas tiga tahun muncullah transmisi semi auto dengan pedal tukaran gear ala F1. Ia menjanjikan pengalaman pemanduan baharu kepada pemandu tanpa melepaskan pedal minyak untuk membuat penukaran gear.

Ia tidak menggunakan klac seperti model manual tetapi digantikan dengan sistem hidraulik tekanan tinggi untuk menukar gear. Ia lebih pantas sekali gus membolehkan pemandu beraksi seperti pemandu F1. Betul ke ni? Tukaran dilakukan dengan sepasang pedal di belakang roda stereng.
Jadi dengan kata lain, kotak gear masih sama cuma klac asal digantikan dengan sistem hidraulik.
Jadi adakah kotak gear AMT yang ada pada kereta sekarang sama dengan sistem yang ada pada F355? Tidak sama sekali. Sistem gear F355 masih lagi manual klacnya digantikan dengan sistem hidraulik. Sistem AMT Ferrari ini tidak sesuai digunakan pada gear automatic kerana tukarannya sangat tidak lancar pada kelajuan rendah.

Walaupun Ferrari mengatakan pedal minyak boleh ditekan secara berterusan semasa gear ditukar namun sentapan ke hadapan masih dapat dirasakan semasa gear bertukar. Bukan itu sahajam sistem hidraulik elektro itu juga menelan kos yang tingi untuk diperbaiki.
Jadi sama tak dengan kotak gear F1? Mana sama baii. Pemandu F1 masih mempunyai kawalan yang penuh ke atas klac cuma ia hanya digunakan semasa permulaan perlumbaan. Kotak gear jentera F1 mempunyai fungsi sequential di mana penggunaan klac tidak lagi diperlukan bila kereta sudah bergerak.
