
SUZUKI GSX-R600 GENERASI BAHARU BAKAL DEBUT DI EICMA 2025
Motosikal segmen supersport yang pada satu ketika merupakan model paling digilai ramai namun disebabkan pelaksanaan standard emisi yang semakin ketat dan perubahan permintaan, motosikal segmen ini semakin dilupakan.
Yamaha telah pun menghentikan produksi YZF-R6 versi ‘road-legal’ dan hanya menghasilkan model untuk litar lumba sahaja sementara Suzuki juga telah menghentikan penghasilkan GSX-R600.
Ketika ini hanya Kawasaki dan Honda masih lagi menghasilkan jentera supersport yang mencapai standard Euro 5 menerusi ZX-6R dan CBR600RR.

Suzuki juga telah menghentikan produksi GSX-R1000 untuk pasaran global termasuk di Jepun, Eropah dan Asia.
Bagaimanapun, temu bual dengan Presiden Suzuki Motor Corporation, Toshirio Suzuki oleh Motorcycle News baru-baru ini mendedahkan bahawa jenama motosikal Jepun itu ada perancangan besar bagi segmen supersport.
Menurut Suzuki, mereka merancang untuk mengembalikan semula motosikal supersport yang memenuhi standard emisi terkini.

“Kami tidak boleh mendedahkan maklumat terperinci tetapi kami berasakan penting untuk kembalikan motosikal supersport ke pasaran dunia dan memenuhi peraturan baharu.
“Kami rasa ini langkah penting kerana ini melibatkan sejarah Suzuki,” jelasnya.
Meskipun tidak dinyatakan model secara spesifik namun perkataan ‘supersport’ itu sudah cukup menjadi rujukan kepada model seperti GSX-R600 dan GSX-R750.
Namun, kami berasakan mengembalikan GSX-R600 lebih relevan bagi memberi saingan kepada Kawasaki ZX-6R dan Honda CBR600RR. Selain itu, segmen ini juga semakin rancak dan sengit termasuk di Kejuaraan Dunia Supersport (WorldSSP) yang dibarisi Ducati Panigale V2 dan akan datang Yamaha YZF-R9 serta KTM 990 RC R.
Lebih menarik, Presiden Suzuki itu turut memberi bayangan bahawa motosikal berkenaan akan dipamerkan pada penghujung 2025.
“Nantikan pameran EICMA edisi seterusnya,” tambahnya.