Buletin

FIM MINIGP SERIES 2023: QABIL IRFAN, AIREL MARZUKI PERAGA AKSI MANTAP

Kejuaraan FIM MiniGP Malaysia Series 2023 menutup saingan Pusingan 3 di MORAC Adventure Park Langkawi dengan menyaksikan pelumba muda Terengganu Qabil Irfan Azlan dalam saingan kelas 160cc, tewas tipis kepada rakan senegeri, Ariel Marzuki pada Perlumbaan 1.

Walaupun mencuba sedaya upaya, Qabil Irfan tidak dapat memintas Airel Marzuki, yang memulakan Perlumbaan 1 daripada petak pertama selepas mengungguli sesi kelayakan buat pertama kali musim ini.

Akhirnya, Qabil Irfan, yang juga juara bertahan, terpaksa akur dengan kekalahan pertama musim ini selepas perlumbaan dipendekkan kepada 12 pusingan kerana insiden di litar.

Seperti Perlumbaan 1, Ariel Marzuki sekali lagi memimpin Perlumbaan 2 namun diasak rapi oleh Qabil Irfan dan Qayyim Razin. Walaupun gigih memastikan kedudukannya terjamin, semangat Ariel Marzuki akhirnya dipatahkan oleh Qabil pada Lap 4, sekali gus memimpin perlumbaan sehingga ke kibaran bendera penamat.

Selepas dipintas oleh Qayyim Razin dan Nguyen Viet Tuan, malang menimpa Ariel Marzuki, apabila terjatuh pada Lap ke 11, hingga memaksanya untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke 13.

Sementara dalam saingan kelas 190cc, penunggang berusia 15 tahun dari Argentina, Valentine Parrone Canton, nyata dalam kelas tersendiri untuk mencatat kemenangan berganda.

Selepas memenangi Perlumbaan 1 dengan kelebihan 7.889 saat di hadapan Farres Putra di tempat kedua, Valentine, yang berlatih dengan sebuah akademi perlumbaan di Sepanyol, lebih tercabar pada Perlumbaan 2.

Membuat kesilapan pada permulaan perlumbaan, Parrone ketinggalan di tempat keenam dengan perlumbaan dipimpin oleh Farish Hafiy ketika itu. Namun, penunggang Argentina itu bangkit untuk memintas para pesainganya bagi menamatkan perlumbaan di tempat pertama, berkelebihan 2.364 saat ke atas Farish Hafiy.

Dalam saingan SIC Ohvale Junior Championship, Aidil Zariff terus unggul menguasai kejuaraan remaja ini dengan mencipta satu lagi kemenangan berganda pada Pusingan 3. Walaupun bermula dari petak kedua, Aidil Zariff tidak berhadapan kesukaran mengalahkan Fahim Naufal serta Nyugen Minh Tuan pada Perlumbaan 1.

Aidil turut memperagakan aksi mengagumkan apabila memenangi Perlumbaan 2, sementara  Nguyen dan Rishi Keishan Kishi terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan ketiga.

Saingan Pusingan 4 akan diadakan di Litar Go Kart Antarabangsa Sepang pada 16 dan 17 September dengan pertarungan Pusingan 5 serta pusingan terakhir akan diadakan di litar yang sama pada 7 – 8 Oktober 2023. 

Google ads
Back to top button