Buletin

WRC 2023 – ELFYN EVANS MENANG DI SECTO RALLY FINLAND YANG PENUH DENGAN DRAMA

Secto Rally Finland yang baharu sahaja berlangsung hujung minggu lalu menyaksikan pemandu pasukan Toyota Gazoo Racing, Elfyn Evans berjaya memenangi perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan yang penuh dengan drama. Dengan kemenangan Elfyn Evans ini, bermakna peluang beliau mengejar kejuaraan FIA World Rally Championship (WRC) kembali terbuka.

Pendahulu saingan kategori pemandu, Kalle Rovanpera terpaksa membenarkan Elfyn Evans memimpin saingan pada hari Jumaat dengan pemandu Britain tersebut berjaya memenangi tujuh SS berturut – turut.

Kalle Rovanpera yang sedang mendahului ketika saingan bermula hari Jumaat mengalami kemalangan apabila jentera Toyota GR Yaris Rally1 beliau berpusing dan terbalik hingga mengakibatkan kerosakan teruk.  Krew dan mekanik pasukan cuba untuk memperbaik pada malamnya namun kerosakan teruk yang dialami pada casis mengakibatkan Kalle Rovanpera harus bersara terus untuk Secto Rally Finland ini.

Dan Elfyn Evans terus mengambil kesempatan itu untuk mendahului perlumbaan walau pun beliau cuba dikejar rapat oleh Thierry Neuville yang akur untuk berada di podium kedua. Pemandu pasukan Hyundai Motorsport itu ketinggalan 39.1 saat. Elfyn Evans turut berjaya mengutip mata bonus tambahan maksimum ketika di Wolf Power Stage sekali gus merapatkan lagi kedudukan mata kepada 25 mata sahaja berbanding Kalle Rovanpera dengan berbaki empat saingan perlumbaan.

Podium ketiga berjaya diraih seorang lagi pemandu Toyota Gazoo Racing, Takamoto Katsuta yang turut mempamerkan pemanduan konsisten kali ini. Beliau ketinggalan hampir seminit di belakang Thierry Neuville. Takamoto Katsuta hampir dikejar dan dipintas oleh Teemu Suninen yang mengambil langkah berani apabila tidak membawa tayar simpanan bagi mengurangkan berat jentera Hyundai i20 N Rally1 beliau namun ianya masih tidak memadai walau pun beliau hanya ketinggalan 4.3 saat sahaja di belakang pemandu Jepun itu.

Melengkapkan cerita gembira pasukan Toyota Gazoo Racing adalah Prinsipal mereka, Jari-Matti Latvala yang berada di kedudukan kelima keseluruhan. Ini adalah penampilan pertama beliau dalam tempoh tiga tahun untuk berlumba secara kompetetif di pentas WRC.

Sementara itu, nasib malang terus menimpa Ott Tanak apabila jentera Ford Puma Rally1 beliau turut mengalami isu pada bahagian enjin ketika saingan hari Jumaat. Enjin beliau kaput dan terpaksa menggunakan mode EV ketika menuju keluar saingan.

Nasib yang sama turut menimpa rakan sepasukan Pierre-Louis Loubet  apabila jentera beliau mengalami masalah dengan sistem suspensi di bahagian belakang.

Kedudukan Mata Pemandu

  1. Kalle Rovanpera – 170 mata
  2. Elfyn Evans – 145 mata
  3. Thierry Neuville – 134 mata

BACA : WRC 2023 – KALLE ROVANPERA MENGGUNGGULI RALI ESTONIA BUAT TAHUN KETIGA BERTURUT – TURUT

BACA : WRC 2023 – ELFYN MENANG DI RALLY CROATIA YANG PENUH DENGAN EMOSI

Google ads

B K

Back to top button