Buletin

FIM MotoE WORLD CUP – PERLUMBAAN MOTOSIKAL ELEKTRIK DARIPADA PENGANJUR MOTOGP

Syarikat Dorno Sports, promoter perlumbaan MotoGP telah melancarkan satu lagi perlumbaan sokongan khusus untuk motosikal berkuasa elektrik dan dinamakan FIM MotoE World Cup.

Ia telah dilancarkan di Rom pagi Selasa lalu dan syarikat pembekal tenaga Enel telah dipilih sebagai penaja utama. Perlumbaan ini akan dimulakan pada tahun 2019 dan motosikal Energica Evo versi perlumbaan telah dipilih untuk perlumbaan ini. Ia sebenarnya merupakan perlumbaan satu model sahaja.

Sebanyak 18 motosikal akan berlumba dalam perlumbaan ini daripada 11 pasukan yang akan bertanding. Semua tujuh pasukan privateer MotoGP akan mengambil bahagian – Tech 3, LCR, Marc VDS, Pramac, Avintia, Angel Nieto dan Gresini. Pasukan ini akan menggunakan dua buah motosikal manakala empat lagi pasukan yang akan dipilih dari kelas Moto2 dan Moto3 akan berlumba dengan masing-masing sebuah motosikal.

CEO Dorna, Carmelo Ezpeleta berkata, mereka cukup teruja bersama-sama dengan pihak FIM dalam mengorak langkah ke arah penggunaan motosikal berkuasa elektrik. Satu pilihan yang dikirakan paling tepat untuk masa depan.

BACA: VESPA ELETTRICA – SKUTER ELEKTRIK BERGAYA RETRO

Mereka juga menyatakan kegembiraan kerana kerjasama yang terjalin dengan Enel selaku penaja rasmi MotoE. Enel juga merupakan rakan teknikal pembangunan tenaga boleh diperbaharui untuk MotoGP.

Komitmen yang diberikan oleh Enel juga cukup tinggi dan memang kena dengan falsafah perlumbaan elektrik yang merupakan satu penerokaan baru dunia perlumbaan.

Kalendar untuk perlumbaan baru ini masih belum ditetapkan tetapi ia dikatakan merupakan perlumbaan lapan pusingan sahaja dan kesemuanya akan mengambil tempat di Eropah. Dorna turut memberi bayangan yang perlumbaan MotoE terbaru ini kemungkinan besar akan dimulakan di Jerez, Sepanyol.

Korang rasa macam mana bunyi perlumbaan ni nanti? Kuasa letrik ni baii… Jangan-jangan macam kereta kawalan jauh je kan? Berdesing ja lalu kat tepi.

Kredit Motorsport.com

Google ads
Back to top button