Buletin

HONDA MALAYSIA SASAR JUALAN 109,000 UNIT PADA TAHUN 2018

Honda Malaysia hari ini mengumumkan hala tuju strategik perniagaannya untuk tahun 2018.

Justeru, ia meletakkan sasaran untuk menjual 109,000 unit kenderaan pada tahun ini. Angka tersebut mewakili perkongsian pasaran 18% daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sebanyak 600,000 unit yang dijangkakan pada tahun 2018. 

Sasaran itu ditetap berdasarkan kepada momentum yang stabil sejak empat tahun lalu. Honda Malaysia juga memberitahu terdapat dua model baharu bakal dilancarkan pada tahun 2018.

Salah satu daripadanya ialah Odyssey baharu dengan Honda SENSING yang turut diperkenalkan pada hari ini.

Prestasi jualan 2017

Baru-baru ini, Honda Malaysia mengumumkan rekod jualan 109,511 unit, jumlah jualan keseluruhan paling tinggi dalam sejarahnya.

Pencapaian tersebut yang juga menjadi jumlah jualan keseluruhan paling tinggi oleh jenama kereta Bukan Nasional di Malaysia membolehkan Honda mengekalkan posisi No. 1 dalam segmen Bukan Nasional dan No. 2 dalam TIV secara keseluruhannya.

Jika dinilai dari segi model, semua model CKD Honda menjadi peneraju dalam segmennya. Dalam operasi semua Honda Automobile di peringkat global, perkongsian pasaran sebanyak 19% telah meletakkan Honda Malaysia di posisi ke-2, hanya 0.1% di belakang Honda Pakistan.

Ia juga meletakkan Honda Malaysia ke dalam rangkaian pasaran penting buat Honda Asia dan Oceania.

Di sini, penerimaan ke atas kenderaan Honda merupakan yang paling tinggi di rantau tengah dengan melibatkan jualan keseluruhan sebanyak 47.3% pada tahun 2017.

Ketika Honda Malaysia meneruskan pelan pengembangannya di Malaysia Timur, syarikat telah mencatat pertumbuhan 0.8 poin dari segi perkongsian pasaran di sana, daripada 6.1% pada tahun 2016 kepada 6.9% pada tahun 2017.

Fokus aspek selepas jualan  

Honda Malaysia turut akan menjadikan aspek selepas jualan sebagai fokus utama. Sekali gus dapat membawa pengalaman pemilikan ke tahap yang lebih tinggi. 

“Berdasarkan kepada kaji selidik dalaman, Indeks Kepuasan Jualan (SSI) dan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) kami telah meningkat sebanyak  23 poin  berbanding tahun sebelumnya. Kami akan meningkatkan aspek ini secara signifikan pada tahun 2018.

“Memandangkan kepuasan pelanggan menjadi keutamaan No. 1 Honda, tahun ini kami akan fokus kepada tiga aspek penting iaitu pengembangan pengedar dan pengalaman pelanggan, menempatkan kakitangan berpengalaman di semua pengedar dan titik sentuhan maya pelanggan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

Jumlah pelaburan untuk penambahbaikan dalam aspek selepas jualan dan operasi Honda Malaysia dianggarkan sebanyak RM31 juta.  

Tujuh lagi pengedar yang terdiri daripada Pusat 3S dan 2S, serta Pusat Badan dan Cat akan dibuka menjelang akhir tahun 2018 demi meningkatkan jangkauan Honda Malaysia, seterusnya memberi lebih kemudahan kepada para pelanggan.

Selain pengedar baharu, pengedar sedia ada akan dinaik taraf bagi menambah baik perkhidmatan dan memenuhi keperluan pelanggan yang kian meningkat.

Honda Malaysia juga meningkatkan sokongan selepas jualan dengan membuka Express Dealers, di mana pelanggan boleh menikmati servis pantas dalam tempoh satu jam tiga puluh minit berbanding dua jam yang diperlukan untuk servis biasa.

Express Dealer pertama ialah Pusat 2S HZN Express di Glenmarie, Shah Alam yang sudah sedia untuk memberi perkhidmatan pantas kepada pelanggan.

Bukan itu sahaja, Honda Malaysia juga sedang giat mengimplementasikan Identiti Korporat (C.I) terbaharunya ke atas para pengedar.

Pengambilan servis naik 13%

Pengambilan servis secara keseluruhan pada tahun 21017 naik 13% berbanding tahun 2016, sekali gus menjadi angka pengambilan servis paling tinggi pernah direkodkan oleh Honda Malaysia.

Dengan peningkatan yang memberangsangkan itu, adalah penting untuk syarikat mempunyai lebih ramai juruteknik terlatih di setiap pengedarnya. Bagi memenuhi integrasi ini, Honda Malaysia telah bekerjasama dengan sebuah kolej vokasional awam dan kolej automotif swasta tempatan.

Di sana, para pelajar terpilih dan graduan akan menerima latihan selama enam bulan sebelum menjadi juruteknik terlatih untuk Honda Malaysia. Latihan tersebut akan membantu melengkapkan graduan dengan standard Fixed Right First Time (FRFT), satu komponen penting ke atas kepuasan pelanggan dalam industri automotif.

Portal selepas jualan khas

Untuk menawarkan akses lebih mudah kepada pelanggan, Honda Malaysia telah membangunkan Portal Selepas-jualan, satu titik sentuhan maya yang membolehkan pelanggan membuat tempahan pembelian, temu janji servis, mengetahui status kenderaan dan fungsi kawalan tugas.

Portal khas ini akan dioptimumkan untuk penggunaan komputer dan peranti mudah alih, ia dijangka dilancarkan pada suku ke-xx tahun ini. 

Demi memberi akses lebih luas dan meningkatkan kemudahan pelanggan, pusat panggilan Tol Percuma Honda kini dibuka 365 hari, 13 jam sehari bermula 9:00am hingga 10:00pm termasuklah pada cuti umum.

Inisiatif yang berorientasikan kepada pelanggan dan selepas jualan ini dilaksanakan selepas Honda Malaysia mencatat jualan tahunan yang cukup memberangsangkan.

Google ads
Back to top button