Motosikal

FON KEPALA DAN INTERKOM MPLUS – TIADA LAGI BUNYI BISING KETIKA MENUNGGANG

Sama ada kita sedar atau tidak, bunyi motosikal boleh memberi kesan buruk kepada deria pendengaran kita. Apatah lagi apabila tahap bunyi bising enjin dan angin terhasil selari dengan kelajuan. 

Jika kita memakai fon kepala Bluetooth untuk tujuan mendengar muzik, komunikasi, podcast dan sebaainya, besar kemungkinan telinga akan berdesing selepas habis menunggang. Itu sebenarnya tanda-tanda telinga akan mengalami masalah. 

Memang banyak gajet yang hadir dengan ciri pembatalan bunyi bising (noise cancelling), tetapi peranti yang ditawarkan oleh MPlus ini sedikit berbeza. Ia didatangkan dengan satu kolar keras tetapi fleksibel yang perlu diletakkan di leher. 

Peranti itu disambungkan dengan sepasang fon kepala dan satu unit boom mic yang boleh dicabut. Cara penggunaannya juga cukup mudah. Masukkan fon kepala ke dalam telinga, pakai topi keledar dan anda sudah sedia untuk menunggang ke lokasi yang ingin dituju. 

Anda boleh memilih lima tahap noise cancelling, daripada langsung tidak mendengar apa-apa bunyi bising sehinggalah mendengar bunyi di sekeliling. 

Menurut MPlus, produknya menggunakan sistem mikrofon feedforward dan feedback untuk menjadikan kesan pembatalan bunyi bising lebih berkesan berbanding penutup telinga yang biasa. 

Selain mampu menghilangkan bunyi bising, peranti ini boleh berfungsi sebagai set kepala untuk menjawab panggilan telefon. Jarak interkom Bluetooth di antara motosikal adalah sekitar 150 meter. Nak kata bagus sangat tidak juga, boleh lah.

Sekali pandang, rekaannya sedikit pelik, tetapi ia menawarkan beberapa kelebihan. Pertama, ia tidak memerlukan sebarang pemasangan. Jadi, anda boleh menggunakannya dengan apa jua topi keledar. Kalau kawan lain memandu kereta, anda juga boleh berkomunikasi dengan mereka tanpa sebarang masalah. 

Dari segi tempoh penggunaan, ciri noise cancelling boleh berfungsi sehingga 72 jam dan interkom boleh bertahan sehingga 20 jam. 

Biarpun begitu, ia tidak dapat lari daripada kelemahan. Antaranya, jika noise cancelling tidak berfungsi, telinga tidak ditutup dengan sebarang busa.

Fon kepala mungkin tercabut setiap kali penunggang memusingkan kepala dan menanggalkan topi keledar. Kalau kualitinya tidak bagus, wayarnya mungkin akan putus atau patah di dalamnya. Manakala kolar itu mungkin tidak boleh disarung di dalam atau di atas jaket.  

Apa pun, kita kena cuba dulu untuk merasai sendiri apakah yang mampu ditawarkan oleh peranti ini. 

MPlus kini dikatakan sedang dalam kempen Kickstarter dengan harga pelancaran AS$159 (RM651). Ia bakal diproduksi pada Mac 2020. 

Tags
Google ads
Back to top button