Buletin

FOOD TRUCK TERLALU MAINSTREAM, LELAKI INI UBAH SUAI MAZDA MX-5 UNTUK JUAL KENTANG MANIS

Kita biasa melihat peniaga jalanan menggunakan van atau foodtruck untuk menjalankan perniagaan masing-masing.

Tetapi, seorang lelaki di Jepun dilihat ingin lari dari kebiasaan itu. Jadi, dia telah mengubah suai sebuah Mazda Max5 atau Miata untuk berniaga kentang manis di Yokohama, Jepun.

Menurut Eroko-san yang cukup popular dalam kalangan warga tempatan, dia mendapat inspirasi itu selepas melihat seorang peniaga menjual mee menggunakan sebuah Toyota Century semasa kecil.

Selepas nekad untuk berniaga, Eroko telah mengimport satu penyangga dan bakul sebelum menghantar kereta kesayangannya ke sebuah bengkel yang dipercayai untuk memasangnya.

Sebuah bakul tambahan di belakang digunakan untuk mengangkut kayu bakar, kentang dan semua peralatan memasak. Sejak itu, dia menjual kentang manis setiap malam.

Bagi memastikan pelanggan dapat mencari lokasi Yokohama Rodo-Pot yang bermaksud rodosuta (roadster) dan potato (kentang), Eroko meminta mereka mengikuti laman Twitter miliknya.

Yokohama Rodo-Pot cukup popular sehingga ada seorang peminat menghasilkan satu anime khas buatnya.

Kos ubah suai itu melibatkan kos sekitar 500,000 yen (RM18,000) dan dia menjual kentang manis pada harga 300 yen (RM11) sebiji. Nampaknya, Eroko perlu menjual banyak kentang manis sebelum dapat pulang modal.

Dia tak kisah pun sebenarnya, ini hanya kerja sampingan, duit tepi orang kata.

kredit foto: Twitter

Google ads
Back to top button