
FORD ECOSPORT DI THAILAND
Ford semalam telah memperkenalkan jentera segmen-B pada Pameran Motor Antarabangsa Bangkok dengan matlamat meluaskan jangkauan segmen kenderaan dan meneruskan pertumbuhan agresif di pasaran ASEAN.
Ini merupakan pengenalan pertama Ford EcoSport di ASEAN. SUV kompak ini dibekalkan dengan unit enjin VCT 1.5 liter yang menjimatkan bahan api.
EcoSport turut dilengkapi sistem perhubungan dalam kereta yang diaktifkan menggunakan suara, Ford SYNC. Ciri tersebut nyata memudahkan pemandu untuk mengawal sistem audio dan telefon bersama ketersambungan Bluetooth® dengan hanya menggunakan arahan suara.
Ford dilihat komited terhadap sasarannya untuk meningkatkan jumlah jualan global kepada lapan juta kenderaan setahun. Ia juga mengunjurkan pertumbuhan jualan global di antara 60 hingga 70 peratus yang disumbang oleh rantau Asia Pasifik. ASEAN sememangnya memainkan peranan penting dalam perkembangan yang sedang dilaksanakan.
“Wujud peluang pertumbuhan yang kukuh bagi Ford di rantau Asia Pasifik. Pelaksanaan rancangan serta pengenalan lebih banyak kenderaan peneraju segmen seperti EcoSport mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan produk yang benar-benar dikehendaki dan dihargai oleh pelanggan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ford Motor Company, Alan Mulally.
Bagi pasaran ASEAN, EcoSport akan dibina di kemudahan Ford Thailand Manufacturing (FTM) terkini yang bernilai AS$450 juta (RM1.36 bilion) di Rayong, Thailand.
[hr]Galeri


















