Artikel Pilihan

HYUNDAI ACCENT HC – LAGENDA KINI BANGKIT SEMULA

Lama dahulu sebelum lambakan model dari jenama Hyundai, Accent adalah merupakan kereta cari makan buat pengeluar dari Korea ini. Selaku model subkompak, Hyundai Accent ini antara model yang boleh dianggap sebagai model popular yang agak mudah untuk dijual di serata dunia. Malah, model Hyundai Accent WRC terlebih dahulu menjulang nama Hyundai di persada dunia. Dan tahukah bahawa pelumba Saladin Mazlan turut pernah berlumba dengan kereta Accent WRC ini suatu ketika dahulu.

BACA :HYUNDAI ACCENT USDM

BACA : HYUNDAI i20 R5 – KERETA LUMBA MESRA BAJET KOREA YANG HANDAL

Kini, Hyundai Motor Corporation sekali lagi bersedia untuk memperkenalkan model Accent generasi terbaharu kepada umum. Pengenalan model dengan kod HC ini sebetulnya agak memeranjatkan juga buat dunia automotif kerana umum mengetahui Hyundai sekarang ini lebih gemar menggunakan nameplat gabungan huruf dan juga nombor. Namun, apabila ianya adalah sebuah model yang dianggap sebagai lagenda, maka sewajarnya jugalah Hyundai mengenang kembali jasa dan budi Accent ini.

Sebetulnya generasi kelima Hyundai Accent ini telah pun dipertontonkan kepada umum sewaktu Orange County International Auto Show 2017. Rekaan Accent terbaharu ini semestinya tidak jauh beza dengan abang abangnya yang lain dalam keluarga Hyundai sebelum ini. Ianya menampilkan keyakinan dengan bentuk tubuh yang diukir serta garis lurus berkontur bagi menyampaikan interpritasi mengenai rekaan bahasa baharu Hyundai. Gril hadapan berongga yang menampilkan identiti Hyundai masa kini diapit oleh lampu utama yang turut dilengkapi dengan DRL jenis LED.

Walau pun ianya adalah kereta subkompak, namun Hyundai masih mahu Accent ini kelihatan bergaya apabila mengenakan rim bersaiz 17 inci. Malah keluasan kabinnya juga melebihi apa yang ditawarkan pada model terdahulu apabila kelebarannya lebin 1.2 inci manakala panjangnya juga lebih sedikit 0.6 inci.

Cuma untuk Accent ini, chasisnya lebih rigid setelah diberi penambahbaikan apabila Hyundai menggunakan Advanced High Strength Steel sekali gus memberikan corak pemanduan yang dinamik. Penggunaan teknologi ini akan mempertingkatkan lagi ketegaran chasis yang mana mampu untuk mengelakkan kereta lebih mudah remuk tanpa menambahkan beban berat kereta. Sifir mudahnya, berat kereta tidak bertambah, maka penggunaan bahan api tidaklah merepek sangat kejap kejap nak singgah petrol pam aja kan.

Accent terbaharu ini menggunakan enjin 1.6 Gamma empat silinder Gasoline Direct Injected (GDI) yang telah dipertingkatkan yang mampu menghasilkan kuasa 130 hp dan tork 119 lb.-ft. Ianya dikatakan 7% lebih jimat penggunaan bahan bakar berbanding Accent sebelumnya.

Sebagai sebuah model moden, Accent ini turut dilengkapi dengan Drive Mode Select bagi pemanduan Normal atau Sport. Aspek keselamatan turut diberikan perhatian sewajarnya apabila enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), Vehicle Stability Management (VSM), ABS, serta Traction Control merupakan kelengkapan yang ada pada Accent ini.

Bila dah lengkap dengan segala macam, barulah Hyundai boleh memasarkannya ke serata dunia. Tapi nak masuk Malaysia memang mustahil. Nak lawan dengan Honda City. Payah. Ketaksuban Bani Melayu dengan H Jepun kuat sangat berbanding H Korea ni. Sampaikan logo pun kena kelebet. Haih!

 

.

Google ads
Back to top button