Buletin

FORD FOCUS RS EDITION, BOLEH LAWAN HONDA CIVIC TYPE R TIDAK NI?

Negara kita ini boleh dikatakan lubuk kereta power ya amat. Sebagai contoh kita ada Honda Civic Type R, Renault Megane RS, Volkswagen Golf GTI R, Ford Rocus RS yang kesemuanya dibawa masuk secara rasmi. Itu belum kira kereta super yang dibawa secara rasmi atau bebas (recond).

Walaupun ada yang hanya dipasarkan satu batch sahaja lepas itu senyap, kira okay lah sebab lagi baik ada daripada tiada langsung. Yang penting kalau rosak ada waranti.

Bercakap mengenai kereta hatchback berprestasi memang tidak dinafikan Honda Civic Type R panas dan hangat diperkatakan di mana-mana sahaja lokasi yang terdapat peminat kereta terutama sekali ‘tribe’ Honda. Lagi panas apabila Civic Type R menjadi raja litar Nürburgring untuk kategori 2WD pacuan depan.

Dan baru-baru ini Renault melancarkan Megane R.S baharu namun tiada lagi angka di litar Nürburgring untuk dibandingkan kedua-dua kereta hatchback berprestasi tersebut. 

Jika diimbas kembali, sewaktu Renault Megane R.S model terdahulu dijual secara rasmi di sini, Ford turut menawarkan model hot hatch Focus ST, walaupun bukan sebuah RS tetapi cukuplah apabila ia dikuasakan enjin 2.0 liter EcoBoost berkuasa 247 hp dengan tork 350 Nm. Lebih menarik, sama seperti Megane R.S ia menggunakan transmisi manual.

Walaupun kita boleh berbangga dengan tawaran model eksklusif namun jauh ya amat lagi dengan negara maju seperti United Kingdom (UK). Contoh paling baru ialah Ford baru sahaja melancarkan Focus RS Edition di sana.

Edisi RS Edition ini dilengkapi limited-slip differential (LSD) jenis mekanikal dari Quaife yang memberi lebih cengkaman dan selamat semasa pemanduan berprestasi.

Berikut ialah ciri-ciri eksklusif pada Focus RS Edition:

Cengkaman – Focus RS Edition dibangunkan oleh jurutera Ford Performance dengan ujian dilakukan di pelbagai lokasi serata dunia bagi menambah baik cengkaman dan respon menggunakan LSD Quaife pada roda depan.

LSD mekanikal itu menghadkan kuasa tujahan dari enjin untuk roda yang mempunyai kurang cengkaman dan mengalihkan semula tujahan kepada satu lagi roda bagi menghalang gerakan roda (wheelspin) yang boleh melemahkan pecutan dan kestabilan kereta.

Dengan mengawal tujahan kuasa yang dihantar ke setiap roda, ia dapat membantu pemandu mengeksploitasi sepenuhnya kuasa 350 PS yang dibekalkan enjin 2.3 liter EcoBoost. Selain itu, LSD Quaife turut membantu mengharmonikan pelbagai teknologi cengkaman sedia ada seperti pacuan kesemua roda (All Wheel Drive), Dynamic Torque Vectoring dan Torque Vectoring Control (TVC).

Penggunaan LSD Quaife dapat membantu untuk membawa kelajuan dalam selekoh supaya lebih mencengkam di atas jalan dan kemudian memaksimumkan pecutan apabila keluar dari selekoh. Pada jalan lurus, Focus RS Edition mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.7 saat. Kereta ini turut dilengkapi Launch Control untuk permulaan pecutan lebih sempurna.

Satu perkara lain yang menarik terdapat pada Focus RS Edition ialah Drift Mode. Aneh juga apabila kereta AWD ada fungsi mod apungan. Mod pemanduan itu dikatakan yang pertama seumpamanya untuk kereta seperti ini dan ia digunakan bagi mengawal oversteer terutama sekali sewaktu memandu di litar.

Rekaan ekslusif – Focus RS Edition tampil dengan warna khas Nitrous Blue dengan bumbung dan cermin sisi matte black. Spoiler bumbung turut diwarnakan matt black dengan logo RS di sisinya.

Peralatan lain Focus RS Edition ialah seperti berikut:

  • Roda aloi hitam 19 inci dengan centre cap RS
  • Angkup Brek Brembo empat omboh monoblock warna biru RS dengan logo Brembo
  • Kerusi Recaro dengan hiasan Nitrous Blue
  • Kemasan dalaman gentian karbon (brek tangan, pembuka pintu, meter)
  • Cermin privasi
  • Stereng dengan fungsi pemanas
  • Sistem Active City Stop

Di UK, Ford Focus RS Edition ini dipasarkan pada harga GBP 35,795 atau RM 202,996.76. Tidak mahal pun, kalau dibandingkan di sini ia hanya pada lingkungan harga Mercedes-Benz A 180 Urban Line atau A 200 AMG Line. Mmmm….

BACA: FORD DISAMAN KERANA NUT TAYAR ROSAK – DAH 100 TAHUN BUAT KERETA PUN TAK PANDAI BUAT LUG NUT?

Google ads
Back to top button