Buletin

FORD RANGER 2018 – 9 VARIAN, 3 PILIHAN ENJIN, BERMULA RM90,888

SHARE
Toyo Tyre – Mrec – Desktop

Ford Motor Company dan pengedar tempatannya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) hari ini melancarkan Ford Ranger baharu.

Untuk memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza, Ranger baharu ‘Built Ford Tough’ ini ditawarkan dengan sembilan varian pada harga berikut:

  • Wildtrak –  dua varian, bermula RM134,888
  • XLT+ –  satu varian, bermula RM124,888 
  • XLT –  dua varian, bermula RM109,888
  • XL – tiga varian, bermula RM90,888

Toyo Tyre – Leaderboard – Desktop

Raptor akan dilancarkan secara rasmi pada acara Kuala Lumpur International Motor Show 2018, November depan.

“Kami tahu bahawa pelanggan di Malaysia mahu trak pikap mereka mempunyai kelasakan seperti sebuah trak. Di samping keselesaan dan ciri-ciri termaju sebuah kenderaan penumpang.

“Kami yakin barisan model Ranger baharu dapat menawarkan versatiliti yang luar biasa, membantu mereka mencapai lebih lagi, sama ada di tempat kerja atau ketika bersama keluarga,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Bin Syed Faiz.

3 pilihan enjin diesel

Ford Ranger menawarkan tiga rangkaian kuasa diesel. Ini termasuklah 2.0L Single-Turbo, 2.0L Bi-Turbo dan enjin Duratorq 2.2L.

Kompak, ringan, berkuasa dan efisien, enjin ini tampil dengan ciri pancitan terus bahan api common-rail, satu pancarongga pengambilan (intake manifold) dan pacuan talisawat-dalam-minyak utama.

Enjin diesel 2.0L Bi-Turbo generasi baharu dipasang secara eksklusif pada varian Wildtrak 4×4 dan dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan untuk menawarkan kuasa tork, fleksibiliti, senyap dan pemanduan yang lebih selesa.

Enjin 2.0L Bi-Turbo memanfaatkan pengecasan turbo secara berjujukan untuk menawarkan maklum balas lebih baik, pemanduan dan kecekapan.

Sepasang pengecas turbo digunakan untuk prestasi dan kecekapan maksimum. Pengecas turbo geometri boleh ubah diaplikasikan untuk menawarkan maklum balas pendikit yang lebih baik dan menghapuskan jeda pada kelajuan rendah.

Unit kedua ialah pengecas turbo geometri tetap dengan kapasiti laluan lebih tinggi untuk menjana kuasa dan prestasi maksimum.

Dengan kuasa tork 500Nm dari serendah 1,750rpm, enjin Bi-Turbo menawarkan julat tork yang lebih baik menerusi kotak gear 10-kelajuan nisbah pendek. Ia mengurangkan jurang kuasa dan pecutan untuk membuatkan usaha mendaki laluan bukit yang curam dan licin jadi lebih mudah.

Model Wildtrak mampu menawarkan keupayaan mengangkut beban dan menunda sehingga 3,500kg yang terbaik dalam kelasnya.

Enjin turbo tunggal 2.0L pula boleh didapati pada varian Wildtrak 4×2 dan Ranger XLT+ baharu. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan termaju Ford untuk menawarkan kuasa 180PS dan tork 420Nm yang mengagumkan.

Varian XL dan XLT menggunakan enjin turbodiesel 2.2L yang menawarkan kuasa 160PS/385Nm. Ia kemudian dipadankan dengan transmisi manual atau automatik enam kelajuan.

Lebih Lasak, Pintar

Ciri  Pre-Collision Assist Ford yang menggunakan sistem Inter-Urban Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan Pengesan Kenderaan dan Pejalan Kaki ada dipasang pada Ranger baharu.

Sistem itu direka untuk mengesan pejalan kaki dan kenderaan serta memastikan Ranger berhenti sepenuhnya demi membantu mengelak pelanggaran dari arah belakang dan pejalan kaki. Sistem itu berfungsi pada kelajuan 3.6km/j ke atas. 

Ciri pertama serta satu-satunya dalam kelas trak pikap, Lane Departure Warning & Assist, Adaptive Cruise Control dan Forward Collision Warning terus ditawarkan pada Ranger baharu.

Ciri Semi-Automatic Parrallel Parking (SAPP) Ford yang pertama dalam segmennya kini dipasang pada varian Wildtrak 4×4. Pemandu hanya perlu menukar gear dan menekan brek, sistem kemudian akan membawa Ranger masuk ke dalam ruang parkir secara automatik.

Urusan memunggah barang kini menjadi lebih mudah dengan varian Wildtrak dan XLT+ menerusi pengenalan ciri Easy-lift Tailgate yang pertama serta satu-satunya dalam kelas trak pikap.

Dengan mekanisma dalaman baharu, pintu belakang Ranger kini lebih ringan untuk diangkat dan kurang 70 peratus tenaga diperlukan untuk menutupnya. Sistem ini bukan sahaja tidak memerlukan banyak tenaga untuk diangkat, malah lebih mudah untuk diturunkan.

Ranger juga telah menambah ciri Electric Power Assisted Steering (EPAS) yang ringan dan lincah ke atas varian asas XL – sekali gus menjadikannya model pertama dalam segmen trak pikap yang menawarkan ciri ini sebagai standard pada semua model.

Wajah Ranger yang rugged

Ranger baharu yang rugged menyaksikan perubahan dari segi gayaan luarannya. Ia tampil dengan rekaan gril baharu bersama reka bentuk tersendiri. Rekaan bahagian bawah bampar kini dilengkapi corong pengambilan udara lebih besar untuk penampilan yang lebih seimbang.

Varian Ranger Wildtrak dan XLT+ dipasang dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu utama jenis HID untuk suluhan cahaya yag lebih terang. Varian-varian Wildtrak juga dipasang dengan lampu kabus LED di hadapan.

Secara visualnya, perbezaan di antara model-model kini lebih ketara. Ia dapat dlihat pada kemasan pada bampar dan warna yang menunjukkan karekter unik setiap model. 

Kemasan krom pada Ranger XLT dan kemasan Monument pada Ranger Wildtrak menjelaskan posisi unik setiap model dalam rangkaian Ranger.

Warna utama Saber yang baru misalnya eksklusif untuk varian Wildtrak sahaja. Warna oren bersama kemasan perak nyata kontras dengan gril berwarna kelabu gelap. Bar sports dan rim aloi dua tona bersaiz 18 inci pada Wildtrak juga membezakannya daripada varian-varian lain. 

SYNC® 3, navigasi binaan dalam

Varian XLT+ dan Wildtrak kini dilengkapi ciri kemasukan tanpa kunci serta butang penghidup enjin.

Dengan kemasan permukaan sentuhan yang lasak, ruang dalaman Ranger yang luas itu mengguna tona berwarna hitam. Elemen kemasan kontras seperti krom dan jahitan benang berwarna perak memberikan ruang ini rasa yang lebih premium. 

SYNC® 3 pada varian Ranger XLT+ dan Wildtrak adalah serasi dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Ia turut hadir dengan ciri Bluetooth dan skrin sentuh warna sepenuhnya bersaiz 8 inci.

Varian Wildtrak juga dilengkapi sistem navigasi satelit binaan dalam yang penting apabila Ranger berada di luar kawasan liputan telefon bimbit. 

Suspensi dan prestasi mantap

Suspensi Ranger baharu telah dinaik taraf untuk meningkatkan aspek kawalan olengan, seterusnya menambah baik pengalaman memandu apabila membawa beban yang penuh dan menunda.

Pakej baru itu juga membolehkan aspek geometri diubah untuk memperbaiki pemanduan, mengurangkan olengan badan dan menambah baik ketepatan stereng. Perubahan suspensi itu bagaimanapun tidak memberi kesan terhadap keupayaan menunda dan mengangkut beban Ranger yang mendahului kelasnya.

Ranger didatangkan dalam lapan warna menarik. Ini termasuklah tiga warna baharu: Saber (Wildtrak sahaja), warna biru Magnetic dan Lightning, selain warna putih (Cool White), kelabu, perak, putih (Frozen White) dan hitam.

Sebagai tawaran untuk yang terawal, seramai 888 pelanggan pertama yang mendaftarkan Ford Ranger baharu  bakal menerima baucar barangan elektrik bernilai RM1,000.

Tawaran ini berakhir apabila pendaftaran yang ke-888 diterima atau pada 31 Disember 2018, mana-mana tiba dahulu. Maklumat lanjut, sila layari laman web: https://www.sdacford.com.my/

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button