Buletin

FORD UJI TEKNOLOGI GEOFENCING UNTUK KURANG HAD LAJU KERETA MENGIKUT LOKASI

Ford dilapor sedang menguji teknologi yang dikenali sebagai Geofencing yang dikatakan mampu mengurangkan kelajuan kenderaan di kawasan tertentu, seperti sekolah, hospital dan kawasan membeli belah.

Teknologi itu kini duji di Cologne, Jerman di mana ia mencipta sebuah sempadan maya di kawasan yang mempunyai had laju rendah, dan sistem ini akan memastikan kereta tidak akan dipandu melebihi had laju yang telah ditetapkan.

Sistem ini akan memberikan amaran berbentuk visual kepada pemandu menerusi kluster instrumen digital, di mana penggunaan papan tanda fizikal mungkin tidak lagi diperlukan.

Ford percaya sistem ini mampu membantu golongan yang tidak biasa dengan jalan-jalan baru, atau pemandu yang tidak perasan papan tanda di jalan supaya tidak disaman dan mengurangkan risiko kemalangan.

Menurut Ford, sistem geofencing ini boleh digandingkan dengan perkakasan ADAS sedia ada (seperti Intelligent Speed Assist, Adaptive Cruise Control) bagi mengawal tahap kelajuan kenderaan secara automatik.

Ujian selama 12 bulan ini melibatkan kerjasama antara Ford City Engagement, pihak berkuasa Cologne dan Aachen, serta jurutera perisian Ford di Palo Alto menggunakan kenderaan pra-produksi Ford E-Transit.

Namun pada masa akan datang, Ford mahu menawarkan sistem Geofencing Speed Limit Control untuk semua kenderaan penumpang dan komersial, di mana kawalan kelajuan ini adalah lebih bersifat dinamik yang mampu berubah mengikut keadaan jalan yang tertentu.

Google ads
Back to top button