Buletin

FOTON EAUMARK 2024, TRAK TUGAS RINGAN ELEKTRIK DILANCARKAN – 115KW, JARAK GERAK 200KM, HARGA BERMULA RM238K

Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM), pengedar tunggal Kenderaan Komersial Ringan (LCV) Foton, Foton Auman dan JMC melancarkan trak baharu, Foton eAumark di Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia 2024.

Foton eAumark 2024 adalah trak tugas ringan elektrik pertama yang ditawarkan secara rasminya di Malaysia.

Menurutnya, trak elektrik Foton eAumark BJ1045EVJAR3 memiliki semua kualiti penting untuk membolehkan Foton Aumark muncul sebagai salah satu trak tugas ringan paling dipercayai dalam pasaran kenderaan komersial hari ini, ditambah dengan kelebihan menggunakan teknologi penggerak elektrik penuh demi prestasi lebih mampan serta bersih.

Dimensi Foton eAumark ialah panjang 5,960mm, lebar 2,000mm dan tinggi 2,210mm dengan jarak roda pada 3,360mm serta berat kasar kenderaan (GVW) bermula dari 4,250kg hingga 6,000kg.

Foton eAumark hadir dengan lampu depan LED serta sistem ADAS untuk memastikan keselamatan berada pada tahap maksimum sepanjang masa.

Ruang kabin juga cukup luas dengan ukuran lebar 1,880mm untuk keselesaan optimum. Ciri lain adalah termasuk stereng kuasa elektronik (EPS), pemilihan gear jenis tombol dan kluster instrumen LCD yang memaparkan semua maklumat penting seperti status kuasa bateri serta jarak.

Malah ia turut dilengkapi sistem penyaman udara cekap tenaga untuk menambah baik kualiti sifat mampan trenkuasa elektrik penuh.

Dikuasakan dengan unit motor elektrik segerak magnet kekal, Foton eAumark mampu menghasilkan output 115kW dan tork lebih 900Nm.

Dengan pek bateri ferem fosfat 81.14kWh dari pembekal bateri EV terkemuka CATL, eAumark boleh dipandu sejauh 200km mengikut Kitaran WLTP.

Trenkuasa elektrik penuh itu direka untuk berdepan keadaan cuaca mencabar seperti iklim tropika di Malaysia, dengan pek bateri memenuhi piawaian IP67 rintangan air dan habuk selain ketahanan terhadap suhu tinggi yang dibuktikan melalui titik pencucuhan 600°C.

Ia juga menyalurkan 10kW ke soket ePTO sebagai sumber kuasa elektrik untuk sambungan perkakas luaran atau struktur khas.

Setiap eAumark yang dijual disertakan bersama kotak pengecas kotak dinding 22kW AC percuma untuk membolehkan trak sentiasa berada dalam keadaan cas penuh jika tidak digunakan.

Selain alat pengecas AC, pemilik boleh menggunakan kemudahan stesen pengecas pantas (DC) yang ada di seluruh negara.

Untuk rekod, eAumark boleh dicas penuh dari 20% keadaan cas (SoC) dalam tempoh sejam, menggunakan alat pengecas DC.

Foton eAumark BJ1045EVJAR3 elektrik penuh ditawarkan pada harga pengenalan RM238,000.

Setiap trak eAumark didatangkan dengan jaminan pengilang termasuk kabin dan casis sehingga tiga tahun atau 100,000km, yang mana tiba dulu.

Sebagai tambahan, unit motor, bateri 81.14kWh dan alat pengawal dilindungi jaminan lima tahun dengan had perbatuan sehingga 200,000km.

GALERI:

Google ads
Back to top button