Buletin

HONDA FREED BAHARU (GEN-3) DILANCAR DI JEPUN PADA JUN!

Honda Freed generasi pertama dipasarkan di dalam negara dan tidak berlanjutan selepas itu. Walaupun sudah berusia, harga Freed terpakai masih lagi tinggi dan mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Freed yang diubah suai juga tampil bergaya. Model generasi kedua berada di pasaran Jepun sejak 2016 dan tidak perlu menunggu lebih lama, Honda memaklumkan Freed baharu bakal dilancar pada Jun.

Honda terlebih dahulu berkongsi sejumlah gambar dan maklumat awal mengenai Freed generasi ketiga.

Freed dibangunkan bukan sahaja sebagai sebuah kereta yang menyumbang kepada kehidupan harian malah perasaan mereka yang menggunakannya dan membawa senyuman dalam kehidupan seharian.

Honda menawarkan dua pilihan utama iaitu Freed Crosstar dan Freed Air. Dari gambar boleh dilihat bagaimana Honda menyusun kedua-dua model berdasarkan gaya hidup pelanggan.

Reka bentuk Freed lebih bersegi dan sekata berbanding model sebelum ini yang membujur dan condong ke depan. Rekaan terbaru ini mengingatkan kepada Stepwgn baharu.

Freed baharu juga seperti kenderaan pelbagai guna (MPV) Eropah yang juga dijadikan van perdagangan. Bahagian dalam lebih ringkas kecuali bonjolan pada papan pemuka dan skrin besar di tengah.

Berdasarkan maklumat awal di dalam laman web, Freed digerakkan enjin hibrid atau e:HEV dan enjin petrol biasa.

Sebagai rujukan, Freed sebelum ini menggunakan 1.5 liter i-VTEC kitaran Atkinson i-DCD dengan kotak gear cekam berkembar tujuh kelajuan.

Model 1.5 liter i-VTEC biasa dipadan bersama kotak gear CVT. Pengguna juga boleh mendapatkan pacuan dua roda atau empat roda.

Jumlah tempat duduk bergantung dari lima sehingga tujuh penumpang. Freed Crosstar hanya boleh dipesan dengan lima dan enam tempat duduk sahaja.

Menurut Honda, kerusi model baharu direka supaya lebih senang digunakan. Bentuk kerusi barisan pertama ditambah baik supaya senang untuk dilalui.

Kerusi baris ketiga yang kerap dilipat dan direbah untuk memuatkan barang direka lebih ringan dan mempunyai struktur lebih nipis dan masih mengekalkan keselesaan.

Kerusi dipasang pada kedudukan lebih rendah untuk simpanan yang lebih kemas dan ruang mesra pengguna.

Papan pemuka mempunyai kapasiti simpanan besar dan tempat letak barang terbuka supaya mudah digunakan. 

Keselesaan penumpang lebih baik dengan penyaman udara belakang pada siling selain cermin sukuan yang dibesarkan atau berpetak berbanding bentuk V sebelum ini.

Dari segi teknologi bantuan pemanduan, sistem Honda Sensing untuk kesemua varian merangkumi fungsi Pembrekan Pencegahan Pelanggaran (CMBS) dan Kawalan Suai Pandu (ACC).

Turut dilengkapi Sistem Bantuan Pengekalan Lorong (LKAS), Bantuan Kesesakan Jalan Raya, Lampu Puncak Automatik (AHB), Pencegahan Tersalah Pecut, Pengecaman Isyarat Jalan Raya dan pelbagai lagi.

Google ads
"
"
Back to top button