
FOXCONN SASAR NISSAN – LANGKAH STRATEGIK KE DUNIA AUTOMOTIF
Syarikat teknologi gergasi Taiwan, Foxconn, sedang mengintai peluang untuk memiliki kepentingan dalam Nissan.
Menurut laporan The Wall Street Journal, Foxconn sedang aktif mengadakan perbincangan untuk mengambil alih sebahagian daripada Nissan.
Jika perjanjian ini berjaya dimeterai, ia bakal menjadi langkah strategik penting bagi Foxconn, yang kini giat berusaha menembusi industri automotif.
Foxconn, yang terkenal sebagai pembekal utama Apple, berminat dengan aset teras Nissan, khususnya dalam bidang pembuatan dan reka bentuk kenderaan.

Dengan misi memperkukuh kedudukan dalam sektor kenderaan elektrik (EV), Foxconn telah melantik Jun Seki, bekas eksekutif Nissan, untuk memacu usahanya.
Syarikat itu juga telah melabur sebanyak AS$250 juta di sebuah taman perindustrian di Vietnam untuk pembangunan komponen EV.
Walaupun Foxconn telah mempamerkan beberapa konsep EV yang menjanjikan, tiada satu pun yang berjaya memasuki fasa pengeluaran setakat ini.
Menurut laporan, Foxconn bercadang untuk menghasilkan kenderaan dengan pendekatan serupa seperti pembuatan iPhone, di mana reka bentuk dan pengeluaran kenderaan adalah secara khidmat luaran kepada mereka.
Walau bagaimanapun, kekurangan pengalaman Foxconn dalam pembuatan casis dan badan kenderaan menjadikan perkongsian dengan Nissan sebagai satu langkah strategik untuk mempercepatkan perancangan syarikat itu.
Dalam masa yang sama, perbincangan antara Honda dan Nissan mengenai kemungkinan penggabungan juga sedang hangat diperkatakan.
Spekulasi menyatakan mereka mungkin menubuhkan sebuah syarikat induk untuk memudahkan perkongsian sumber. Walaupun Renault, rakan kongsi strategik Nissan, tidak memberikan komen langsung mengenai penggabungan ini, jurucakap syarikat Perancis itu menyatakan sokongan terhadap usaha Nissan untuk memulihkan kedudukan perniagaannya.
Laporan The Financial Post turut mencadangkan bahawa minat Foxconn terhadap Nissan mungkin menjadi pencetus bagi mempercepatkan rundingan antara Honda dan Nissan.
Sekiranya penggabungan ini berjaya, ia bakal menyatukan sebahagian besar industri automotif Jepun, membentuk dua gergasi utama – Nissan-Honda dan Toyota, bersama jenama lain di bawah naungan Toyota seperti Suzuki, Subaru, dan Mazda.
Keadaan ini pastinya akan mengubah lanskap persaingan automotif, bukan sahaja di Jepun tetapi juga di peringkat global.
Dalam era persaingan sengit dan peralihan kepada teknologi hijau, langkah strategik ini mencerminkan betapa pentingnya kerjasama dan inovasi untuk kekal relevan.
Semua pihak kini menantikan apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh pemain utama ini dalam merangka masa depan industri automotif.