
FUNGSI TEROWONG ANGIN YANG SEBENAR. DIGUNAKAN DALAM PENGHASILAN MODEL KERETA
Berikut ialah perkongsian daripada laman Facebook Nik Muhammad Nasri yang memiliki pengalaman yang luas dalam bidang terowong angin
Assalamualaikum dan hi semua, Bismillahirrahmanirrahim
Seperti yang dijanjikan, ini adalah perkongsian saya tentang salah satu kemudahan ujian yang digunakan secara meluas di dunia terutama dalam bidang Research and Development (R&D) yang diberi nama Terowong Angin, atau juga dikenali lebih meluas sebagai Wind Tunnel (WT).
Alhamdulillah, saya telah diberikan kepercayaan dan kesempatan untuk bekerja dengan WT ini selama hampir 9 tahun dan ini adalah perkongsian saya tentang pengetahuan dan pengalaman saya bekerja di fasiliti ujian ini. Saya akan mulakan dengan pemahaman umum dahulu dan jika ada permintaan, saya akan pergi lebih mendalam dan teknikal jika ada yang berminat.
Ok, jadi apa sebernarnya WT ni?
WT ini sebenarnya adalah satu kemudahan uji kaji yang digunakan untuk menentukan dan memahami sifat aerodinamik sesuatu objek/bentuk. Atau kalau dalam bahasa mudahnya, WT ni adalah satu terowong yang dialirkan angin didalamnya.
Di dalam WT ini, kita akan letakkan model yang disambungkan kepada sensor-sensor yang berkaitan (bergantung atas apa yang mahu di uji kaji) dan angin akan dialirkan melalui terowong ini dari arah yang tertentu kepada model itu.
Bukan terhad kepada sensor sahaja, kita juga boleh menggunakan instrumen/alatan lain yang berkenaan dan yang penting dapat memberikan (atau dapat membantu memberikan) jawapan kepada uji kaji kita. Contoh instrument/alatan yang boleh digunakan bersama dalam uji kaji WT ini adalah dari semudah tuft (sekumpulan benang dipintal bersama, macam tali gasing tu), asap dan cat; sampailah ke tahap yang lebih tinggi seperti lazer, mikrofon dan kamera berkelajuan tinggi.
Seperti yang saya nyatakan, terpulang atas keperluan uji kaji dan cara mana yang boleh memberi jawapan atau dapat membuktikan hipotesis/teori ujian/memberi lebih pemahaman, itulah benda yang kita guna pakai dalam ujian WT ini.
Saya ada sertakan beberapa gambar untuk menolong pembaca untuk memahami dengan lebih mendalam penulisan saya ini.
Ok, kita berhenti di sini dahulu untuk mukadimah WT ni. InsyaAllah jika bekesempatan, saya akan sambung dengan bahagian seterusnya iaitu “Kenapa perlunya uji kaji Wind Tunnel ini?” dan seterusnya “Bila perlu kita buat ujian WT ini?”.
Sila Like jika penulisan pendek saya ini menarik dan saya izinkan untuk Share jika anda rasa artikel ini bermanfaat. Kalau ada soalan/cadangan/pembetulan maklumat/perbincangan, boleh gunakan ruangan Comment dibawah.
Terima kasih dan semoga bermanfaat

Struktur Tunnel Close Loop. (A) Angin disedut dalam Wind Tunnel oleh kipas Wind Tunnel. (B) Angin akan melalui beberapa bahagian WT yang mempunyai fungsi tersendiri. (C) Screen akan membantu meluruskan angin sebelum ke test section. (D)

Tuft – dugunakan untuk memahami aliran udara (air flow) pada permukaan objek ujikaji
Perhatikan pergerakan tuft, (i) ada yang bergerak selari dengan pergrakan angin dan ada yang bergerak pada sudut yang berlainan. (ii). ada yang bergerak lurus dan ada yang bergerak berkibar-kibar. (iii). Ada yang bergerak melawan arus angin.
Kaedah ini membolehkan jurutera memahami dengan lebih mendalam bagaimana aliran udara pada permukaan objek ujikaji. Kaedah ini merupakan kaedah untuk menyokong pemahaman sesuatu ujikaji

Smoke Visualisation-Salah satu lagi kaedah untuk memahami aliran udara ke atas sesuatu objek ujikaji dengan menggunakan asap. Kaedah ini digunakan untuk membantu jurutera memahami aliran udara di sekeliling objek dan lebih ke arah menyokong kepada hasil ujikaji yang diperolehi.
Walaupun sekadar sokongan, ia lebih mudah difahami kerana ia berbentuk visual berbanding keputusan ujikaji lain yang berbentuk nombor dan graf. Tuft untuk memahami aliran udara pada permukaan dan smoke digunakan untuk mengkaji persekitaran luar objek.

Particle Image Velocimetry – ujikaji visual yang utama dan bukannya ujikaji sokongan seperti Tuft dan Smoke Visualisation. PIV memerlukan 3 komponen utama iaitu Particle, Laser dan High Speed Camera.
Particle -atau tracer particle boleh dihasilkan daripada aluminium, kaca dan plastik dengan saiz 0.001mm.
Laser – digunakan untuk menyinari tracer particle yang bergerak dengan pergerakan udara di sekeliling model dalam bentuk lapisan.
Kamera kelajuan tinggi – digunakan untuk mengambil gambar dalam micro saat, disambung kepada laser dengan synchronizer supaya kedua komponen beroperasi dalam masa yang sam. Bila laser menembak cahaya, tracer partikel akan membalikkan cahaya dan kamera mengambil gambar dalam micro saat.