
GARA-GARA LEKA TENGOK WAZE, WARGA EMAS MAUT DIREMPUH KERETA
Seorang warga emas yang sedang menunggang motosikal di Kilometer 8.7 Jalan Machang-Pasir Puteh, Kelantan meninggal dunia akibat dirempuh oleh sebuah kereta.
Mangsa, Yah Awang, 63, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diseret sejauh 20 meter sebelum tercampak ke bahu jalan.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati seorang tukang masak berusia 25 tahun memandu kereta jenis Perodua Bezza dalam perjalanan dari Kuala Besut, Terengganu menuju ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai.

Lelaki itu dipercayai sedang melihat aplikasi Waze pada telefon pintarnya yang diletakkan di atas paha untuk melihat laluan ke HSIP.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, tukang masak itu dipercayai tidak menyedari kereta dipandunya masuk ke bahu di sebelah kiri jalan. Keadaan itu menyebabkan pemandu kereta itu terkejut sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa,” katanya.
Tambah Mohd. Adli, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat. Siasatan mendapati nahas berpunca daripada kecuaian pemandu kereta kerana memandu sambil menggunakan telefon pintar dan tidak memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemanduan,” jelasnya.
Tukang masak itu kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE