Buletin

TIDUR DENGAN TENANG SELEPAS KEMALANGAN, PEMANDU DAN PENUMPANG RUPANYA POSITIF DADAH

Gara-gara seorang pemandu dan penumpang terlelap, menyebabkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah motosikal.

Menerusi rakaman video yang tular di laman Twitter, pemandu dan penumpang kereta jenis Nissan didapati dalam keadaan mencurigakan serta tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, nahas itu berlaku pada 3 Mac yang lalu jam lebih kurang 12.30 tengah hari di Jalan Ipoh, Batu 5 menghala ke Batu Muda.

Hasil siasatan mendapati pemandu serta penumpang disahkan positif dadah jenis Methamphetamine, Ketamin, Benzo (Erimine 5), Ampetamin dan ganja (THC).

“Kemalangan berlaku semasa pemandu seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun memandu kenderaan jenis berwarna gelap terlelap dan melanggar bahagian belakang sebuah lori jenis Hino yang berada di hadapannya.

“Akibat perlanggaran tersebut, lori berkenaan terlanggar bahagian belakang motosikal di lorong yang sama menyebabkan penunggang motosikal terjatuh ke atas jalan,” kata Beh Eng Lai.

Kemalangan tersebut bagaimanapun tidak mendatangkan kecederaan kepada pemandu dan penunggang motosikal.

Kedua-dua individu itu dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di Jalan Tun H.S.Lee dan menjalani ujian saringan air kencing di IPD Dang Wangi. – The Star

Google ads
Back to top button