Buletin

GARAJ BASIKAL MACAM LAPANGAN TERBANG. BOLEH TAMPUNG 8K BASIKAL

Sesiapa sahaja yang pernah mengembara di Belanda pasti menyedari basikal merupakan medium pengangkutan penting bagi penduduk tempatan dan para pelancong.

 Ia bukan sahaja platform terbaik menjelajah di negara berkenaan tetapi infrastruktur seperti sistem pengangkutan dan jalan raya menekankan kepentingan penunggang basikal.

Tebaharu, Belanda bakal melancarkan garaj tempat letak basikal terbesar di dunia yang terletak di The Hague.

Rekaan futuristik moden yang mampu menampung sehingga 8,000 buah basikal memberi pengalaman seperti berada di muzim mahupun lapangan terbang.

Garaj terletak di bawah sebuah plaza berhadapan stesen central sekali gus memudahkan pengguna menggunakan perkhidmatan kereta api untuk menjelajah.

Biarpun, garaj sudah siap sepenuhnya tetapi projek pembangunan bandar masih dilakukan dalam menyediakan bangunan komersial dan kediaman.

Apabila projek tersebut siap sepenuhnya, ia bakal mempunyai pintu menghubungkan garaj basikal bagi kemudahan pengguna.

Belanda memiliki beribu-ribu kilometer laluan basikal menghubungkan sebahagian besar negara terbabit.

Orang ramai terutamanya para pelancong boleh menikmati pengalaman bandar dan luar bandar dengan menaiki basikal.

“Berbasikal amat baik untuk kesihatan dan persekitaran. Di bandar-bandar Belanda, ia merupakan kaedah paling mudah dan pantas mengembara dari A ke B.

“Selain itu, sejak pandemik Covid-19, basikal menjadi pengangkutan semakin popular,” kata Rene Toneman merupakan rakan kongsi agensi kreatif SILO yang terlibat dengan projek itu. – Lonely Planet.

Google ads
Back to top button