
GENESIS G90
Hyundai melancarkan model sedan mewahnya, Genesis G90. Di Korea Selatan model berkenaan dinamakan sebagai EQ900.
Kehadiran model tersebut akan bersaing dengan kereta segmen mewah sedia ada di pasaran.
Prestige Design Division, Hyundai Motor diberi tanggungjawab dalam membangunkan imej berprestij G90. Diselia oleh Ketua Pegawai Rekaan, Peter Schreyer, G90 tampil dengan penggayaan rekaan Athletic Elegance. Tema tersebut adalah gabungan pergerakan kecantikan harmoni serta elegan bersama dinamik dan tenaga.
Prestige Design Divion cuba menyerlahkan kekukuhan dan keaslian G90 menerusi penggayaan yang inovatif.
Rekaan hadapan G90 tampil dengan hud panjang dan overhang pendek. Rekaan itu kemudian dilengkapkan dengan penggunaan gril ‘Crest’ bersama lencana Genesis. Sementara bentuk belakang juga kelihatan lebih elegan.
Ciri utama ahli keluarga baharu Genesis itu dapat dilihat pada penggunaan lampu hadapan LED yang tajam.
Pada sisi pula, Genesis G90 dipadankan dengan garisan aerodinamik sehingga ke belakang. Genesis dilengkapi dengan dua ekzos agar lebih agresif.
Model G90 ditawarkan dengan lapan warna menarik antaranya putih, hitam , emas dan biru.
Masuk ke dalam kabin, rekaan diinspirasi dari ‘Graceful Luxury’. Elemen mewah bermula dari bentangan kawalan pemandu, material, pemilihan warna sehinggalah jahitan pada kerusi yang semuanya fokus kepada penumpang.
Genesis memberikan perhatian khusus kepada bahagian kabin agar lebih berkualiti dan tampil menawan. Pengeluar automotif Korea itu bekerjasama dengan pembekal bahan kulit Itali, Concerio Pasubio SPA.
Hyundai juga membangunkan khas bahan kulit semi-aniline bagi kerusi G90. Aura premium turut dilihat dengan penggunaan kemasan kayu pada papan pemuka, kerusi dan pintu.
Untuk memaksimumkan kenikmatan pemanduan, Genesis G90 ditawarkan dengan tiga pilihan enjin iaitu V6 3.3-liter T-GDI (370PS), V6 3.8-liter GDI (315PS) dan V8 5.0-liter GDI (425PS).
GALERI

























