Buletin

GODFATHER OF ALL SUVs, MERCEDES-AMG G 63 RASMI DILANCARKAN DI MALAYSIA – RM1.5 JUTA!

Selepas 40 tahun, Mercedes-Benz akhirnya melancarkan model G-Class yang ditunggu-tunggu ramai dan telah menerima pelbagai teknologi termaju.

Diberi jolokan sebagai Godfather of SUVs, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkenalkan Mercedes-AMG G 63 di Litar Antarbangsa Sepang (SIC) malam semalam. Mercedes-AMG G 63 boleh anda miliki pada harga RM1,464,888 seunit tidak termasuk insurans.

Turut dikenali sebagai Gakaendewagen, ia dikuasakan oleh enjin V8 biturbo bersesaran 4.0 liter. Dipadankan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan AMG SPEEDSHIFT TECT 9G, ia mampu menjana kuasa sehingga 585hp dan tork maksimum 850Nm.

Transmisi itu hadir dengan mode Sport dan sport Plus yang menjanjikan pemanduan lebih mengujakan menerusi penukaran gear yang pantas.

Kuasa enjin kemudian disalurkan ke roda menerusi sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC dengan agihan depan/belakang 40 hingga 60 peratus. Agihan kuasa itu bagaimanapun bergantung kepada permukaan jalan.

Kuasa tork yang boleh diperah seawal 2,500 hingga 3,500rpm itu membolehkan G 63 memecut cati 0-100km/j dalam masa cuma 4.5 saat. Kelajuannya dihadkan sehingga 220km/j atau 240km/j dengan pakej AMG Driver.

Enjin itu menampilkan dua pengecas turbo unik yang diletakkan di dalam selinder V. Ini membolehkan reka bentuk enjin yang kompak, menawarkan maklum balas serta-merta dan kurang emisi.

Mercedes-AMG mendakwa G 63 lebih dinamik dan dipandu di laluan off-road berbanding model terdahulu. Keadaan ini banyak dibantu oleh penggunaan sistem suspensi yang telah direka semula sepenuhnya oleh Mercedes-AMG.

Buat pertama kalinya, jentera itu menggunakan gandar bebas, suspensi double wishbone dan suspensi jenis 5-link pada roda belakangnya.

Pemandu boleh memilih lima mode pemanduan di atas jalan biasa iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual. Mode pemanduan tersebut dibezakan menerusi maklum balas enjin, transmisi, suspensi dan stereng.

Jika berada di laluan off-road pula, tiga mode pemanduan Sand, Trail dan Rock sedia untuk digunakan. Fungsi ini boleh diaktifkan dengan hanya menekan butang pada konsol tengah.

Jentera ini mengekalkan reka bentuk berkotak yang sememangnya membentuk karekter G-Class yang tidak ditelan zaman. Ia masih dibina di atas kerangka jenis ladder agar lebih kukuh dan sesuai untuk dipandu di laluan sukar.

Biarpun begitu, beratnya berjaya dikurangkan sebanyak 170kg hasil penggunaan gabunagn beberapa material baharu. Selain beberapa gred besi, material aluminium turut digunakan pada bahagian fender, bonet dan pintu.

Gayaan luaran SUV yang berkotak dan berprestasi tinggi itu diserlahkan menerusi lampu utama LED berbentuk bulat, jeriji menegak AMG bersama logo Mercedes-Benz yang besar dan cermin utama menegak.

Bahagian belakang pula dipasang dengan perumah tayar gantian dan sepasang lampu LED yang nipis.

Rasa sporty ruang kabin dibangkitkan dengan kemasan kulit Nappa berwarna hitam dan merah pada tempat duduk. Kemasan kulit lembut pada pintu, papan pemuka dan stereng juga didatangkan dengan jahitan benang berwarna merah.

Sama seperti semua model terkini Mercedes-Benz, G 63 dilengkapi paparan digital bersaiz 12.3 inci, corong pendingin hawa dengan rekaan seperti turbin angin dan 64 pilihan warna lampu ambien.

Senarai sistem keselamatan SUV ini cukup panjang. Antara sistem yang didatangkan sebagao standard ualaj kamera 360 darjah, pakej bantuan pemanduan, Blind Spot Assist, Active Distance Assist DISTRONIC, pakej anti-kecurian dan banyak lagi.

GALERI

Google ads
Back to top button