
GWM MALAYSIA LANCAR KEMPEN RAYA 2026, PELUANG MENANG PELBAGAI HADIAH MENARIK
Sempena Hari Raya Aidilfitri, GWM Malaysia memperkenalkan kempen istimewa tahun ini menerusi tema “Raikan Perjalanan Menuju Keredaan.”
Kempen tersebut mengetengahkan makna perjalanan pulang ke kampung yang bukan sekadar destinasi, tetapi turut membawa nilai silaturahim, penghargaan terhadap pengorbanan serta peluang mencipta kenangan indah bersama keluarga dan insan tersayang.
Sebagai tarikan utama kempen itu, GWM Malaysia menghasilkan sebuah filem pendek berjudul “Lebaran Keredaan”.
Karya tersebut mengisahkan perjalanan dua sahabat, Faiz dan Rizal, yang masing-masing memikul tanggungjawab serta berusaha memenuhi harapan keluarga dalam persiapan menyambut Aidilfitri.

Latar cerita yang menggambarkan kehidupan masyarakat Malaysia turut menonjolkan kepentingan nilai kekeluargaan, pengorbanan serta momen perjalanan pulang ke kampung.
Dalam kisah itu, kenderaan HAVAL H6 HEV digambarkan sebagai teman perjalanan boleh dipercayai, menawarkan keselesaan dan ketenangan kepada keluarga yang pulang menyambut Syawal bersama.
Dalam masa sama, sambutan Aidilfitri tahun ini turut menandakan pencapaian penting buat GWM Malaysia apabila sebanyak 6,000 unit HAVAL H6 HEV berjaya dihantar kepada pelanggan di seluruh negara.
Jumlah tersebut sekali gus meletakkan model itu sebagai antara kenderaan hibrid paling laris di Malaysia.
Sejak diperkenalkan pada Oktober 2024, HAVAL H6 HEV semakin mendapat tempat dalam kalangan keluarga tempatan yang mencari kenderaan utiliti sukan (SUV) praktikal untuk kegunaan harian.

Model hibrid pengecasan sendiri itu tidak memerlukan pengecasan luaran dan mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 1,000 kilometer dengan satu tangki bahan api, sesuai untuk perjalanan jauh termasuk pulang ke kampung halaman.
Kenderaan berkenaan turut disertakan waranti selama 10 tahun bagi enjin dan bateri sistem HEV, selain dibina menggunakan platform global yang telah digunakan oleh lebih empat juta pemilik HAVAL H6 di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, berkata Aidilfitri merupakan waktu yang amat bermakna kerana setiap perjalanan membawa cerita dan tujuan tersendiri.
Menurutnya, pencapaian penghantaran 6,000 unit HAVAL H6 HEV mencerminkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap jenama tersebut.
“Tema ‘Raikan Perjalanan Menuju Keredaan’ melambangkan keyakinan kami bahawa setiap perjalanan perlu menawarkan keselamatan, kepercayaan serta ketenangan fikiran, terutamanya ketika orang ramai pulang untuk meraikan detik istimewa bersama keluarga,” katanya.
Sempena musim perayaan ini, GWM Malaysia turut menganjurkan Rumah Terbuka Raya di lebih 35 bilik pameran seluruh negara pada 28 hingga 29 Mac serta 11 hingga 12 April.
Pengunjung berpeluang melihat dan memandu uji HAVAL H6 HEV bagi merasai sendiri teknologi hibrid yang ditawarkan.
Selain itu, pelanggan yang menyertai kempen Tempah & Menang Raya 2026 bermula 9 Mac hingga 30 April ini turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.
Antara hadiah yang ditawarkan termasuk percutian tiga hari dua malam di Desaru Coast, televisyen pintar Samsung 65″ Crystal UHD 4K Smart TV, Apple iPad Air 11‑inch, serta penggaya rambut Dyson Airwrap.
Kempen itu sekali gus menambah kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini sambil menghargai setiap perjalanan yang membawa makna buat rakyat Malaysia.







