Buletin

POLIS JEPUN KUMPUL 17,000 BROSUR KENDERAAN SEJAK 40 TAHUN LALU. GUNA NAK BANTERAS JENAYAH

Polis Wilayah Aichi di Jepun menggunakan brosur untuk mengenal pasti kenderaan terlibat dalam aktiviti jenayah.

Menurut The Asahi Shimbun, Wilayah Aichi di Jepun merupakan antara kawasan metropolitan terbesar di dunia dan dipenuhi pelbagai model kenderaan.

Sebelum memasuki era internet, polis Wilayah Aichi mula mengumpul brosur kenderaan baharu untuk mengenal pasti kenderaan terlibat dalam jenayah.

Bahkan, proses berkenaan masih dilakukan sehingga hari ini dan selepas 40 tahun berlalu, pihak polis Wilayah Aichi telah mengumpul tidak kurang daripada 17,000 brosur.

Lebih menarik, brosur yang dikumpul adalah daripada pengeluar kenderaan di seluruh dunia termasuk kenderaan edisi terhad.

Mungkin ada yang bertanya sama ada arkib berkenaan relevan di alam maya hari ini.

Laporan itu memberitahu jabatan-jabatan polis berdekatan Wilayah Aichi turut menjadikan brosur tersebut sebagai rujukan malah mula membangunkan arikib sendiri.

Selain itu, baru-baru ini, pihak polis juga berjaya mengesan suspek langgar lari dengan menggunakan kaedah ‘purba’ tersebut.

Melalui kaedah itu, pihak polis dapat mengenal pasti model dan tahun pembikinan kenderaan sekali gus memudahkan tugasan ketika mengejar suspek jenayah.

Justeru, kalau anda melakukan kesalahan undang-undang memandu kenderaan pelik macam mana pun di Wilayah Aichi, kemungkinan besar anda akan tertangkap. –motor1/thedrive

Google ads
Back to top button